RISDA Perkasa Pendidikan 3,015 Anak Pekebun Kecil Melalui Program Tuisyen

Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) telah menganjurkan Majlis Apresiasi Tuisyen Rakyat RISDA 2024 yang berlangsung di sebuah hotel di Kuala Lumpur pada 28 Julai 2025. Majlis ini merupakan kali kedua dianjurkan sejak pengenalan program tersebut pada tahun lalu sebagai penghargaan terhadap pelajar yang mengikuti Program Tuisyen Rakyat RISDA. Ia juga mencerminkan usaha berterusan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah bersama RISDA dalam memperkasa pendidikan anak-anak pekebun kecil. Seramai 884 pelajar telah berjaya memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia tahun lalu dengan pencapaian sekurang-kurangnya lima A, meningkat sebanyak 35 peratus berbanding 654 pelajar pada tahun sebelumnya. Peningkatan ini jelas membuktikan keberkesanan program dalam membantu pelajar luar bandar mencapai kecemerlangan akademik.

Bagi pelaksanaan tahun 2024, Program Tuisyen Rakyat RISDA melibatkan peruntukan sebanyak RM3,517,500 dan memberi manfaat kepada 3,015 pelajar di seluruh negara. Seramai 1,005 tenaga pengajar memberikan bimbingan intensif dalam lima mata pelajaran asas iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sejarah, Matematik dan Sains. Sebanyak 201 pusat tuisyen digunakan dengan kapasiti 15 peserta setiap pusat bagi memastikan suasana pembelajaran yang kondusif dan berfokus. Program ini yang mula dilaksanakan sejak tahun 2007 telah memanfaatkan seramai 35,316 pelajar dengan jumlah peruntukan keseluruhan mencecah RM31.03 juta.

Dalam majlis yang sama, turut diumumkan pembukaan permohonan bagi Program Bantuan Musim Tengkujuh (BMT) 2025. BMT pada tahun ini menyasarkan seramai 331,142 orang pekebun kecil dan penoreh getah sebagai penerima bantuan di bawah seliaan RISDA, FELDA dan Lembaga Industri Getah Sabah. Program ini melibatkan peruntukan sebanyak RM264.91 juta dan permohonan telah dibuka sehingga 30 September 2025. Pekebun kecil diseru agar segera melayari Portal Pekebun Kecil RISDA atau mengunjungi pejabat RISDA, FELDA atau LIGS berhampiran bagi tujuan semakan, permohonan atau pengemaskinian maklumat kelayakan. Pembayaran bantuan kepada penerima layak akan dibuat secara berperingkat bermula November 2025, dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM800 seorang iaitu RM200 sebulan mengikut fasa pembayaran yang ditetapkan.