Gambar hiasan – Foto 123RF
RINGGIT ditutup tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini berikutan permintaan sederhana, menjejaki sentimen positif di pasaran ekuiti walaupun unit negara maju mengukuh, kata penganalisis.
Pada 6 petang, mata wang tempatan meningkat kepada 4.6865/6920 berbanding dolar AS daripada 4.6890/6940 sewaktu ditutup pada Khamis.
Pengarah Urusan SPI Asset Management Stephen Innes berkata, sentimen itu juga telah merangsang seketika pasaran Asia berikutan China dikatakan membenarkan peratusan lebih tinggi bagi pelaburan asing dalam syarikat tempatan, sekali gus menjadi berita baik kepada pasaran tempatan.
“Di peringkat tempatan, inflasi keseluruhan Indeks Harga Pengguna Malaysia (IHP) secara umumnya tidak berubah iaitu mesej yang bercampur-campur kepada pasaran mata wang. Malah, ia adalah berita baik kepada ekonomi,” katanya kepada Bernama.
Sementara itu, Ketua Ekonomi dan Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia Bhd, Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, ringgit dilihat menerima sokongan memberangsangkan pada RM4.6875 hari ini manakala indeks dolar AS (DXY) meningkat 0.21 peratus kepada 105.586 mata.
“Ringgit yang berada dalam kedudukan terlebih jual mungkin menyebabkan aktiviti belian dalam kalangan peniaga,” katanya.
Ringgit diniagakan tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama.
Mata wang tempatan meningkat berbanding yen Jepun kepada 3.1593/1632 daripada 3.1650/1686 sewaktu ditutup pada Khamis, menokok berbanding euro kepada 4.9860/9918 daripada 4.9947/5.000 dan meningkat berbanding pound Britain kepada 5.7372/7439 daripada 632/7694 semalam.
Pada masa sama, ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang Asean.
Mata wang tempatan lemah berbanding dolar Singapura kepada 3.4313/4359 daripada 3.4271/4310 pada Khamis dan menyusut berbanding baht Thailand kepada 13.0119/0322 daripada 12.9695/9880 sebelum ini.
Ringgit meningkat berbanding rupiah Indonesia kepada 304.7/305.3 daripada 304.9/305.4 sewaktu ditutup pada Khamis dan tidak berubah berbanding peso Filipina pada 8.25/8.26. – Bernama