Gabungan dua kumpulan muzik terkenal Indonesia, Radja dan Wali, bakal mencipta sejarah tersendiri apabila mereka bersatu di atas satu pentas dalam konsert megah bertajuk Pentas RadjaWali Live in Malaysia yang dijadualkan berlangsung pada 10 Januari 2026 di Idea Live Arena, Petaling Jaya.
Nama “RadjaWali” membawa aura tersendiri, bukan sahaja sedap disebut tetapi juga padat dengan makna yang melambangkan gabungan dua kuasa besar muzik Nusantara. Kedua-dua kumpulan ini sememangnya memiliki barisan peminat setia di Malaysia yang sentiasa menantikan kemunculan mereka.

Konsert ini menjanjikan sebuah malam luar biasa yang bakal menggetarkan jiwa para peminat dengan persembahan penuh emosi, bertenaga dan sarat nostalgia. Bagi peminat Radja, lagu-lagu ikonik seperti Jujur, Tulus, Bulan dan Cinderella pasti menggamit kenangan indah yang sukar dilupakan. Sementara itu, kumpulan Wali pula akan menghiburkan “Para Wali” dengan rangkaian lagu popular mereka termasuk Cari Jodoh, Baik-Baik Sayang, Yunk, Doaku Untukmu Sayang dan Tomat (Tobat Maksiat).
Radja yang ditubuhkan pada tahun 2001 di Banjarmasin, Kalimantan Selatan, dianggotai oleh Ian Kasela (vokal), Moldy (gitar utama), Indra Riwayat (bass) dan Seno Aji Wibowo (dram). Mengusung genre pop rock dan rock melayu moden, Radja tidak dapat menyembunyikan keterujaan mereka untuk kembali beraksi di Malaysia. Menurut mereka, Malaysia sentiasa dekat di hati dan peminat di sini tidak pernah dilupakan. Mereka berjanji untuk memberikan persembahan terbaik buat semua yang hadir pada malam konsert tersebut.
Sementara itu, kumpulan Wali yang ditubuhkan pada tahun 1999 di Ciputat, Tangerang Selatan, turut tidak sabar untuk kembali ke Malaysia. Dianggotai oleh Faank (vokalis utama), Apoy (gitar utama dan komposer), Ovie (keyboard) dan Tommy (dram), Wali terkenal dengan genre pop, pop rock, pop religi dan pop melayu yang menjadi identiti tersendiri mereka. Kumpulan ini menyifatkan Malaysia sebagai rumah kedua dan mengakui sentiasa merindui sambutan mesra serta juadah enak yang sering mereka nikmati di sini. Mereka turut menjanjikan persembahan yang berbeza dan lebih istimewa berbanding penampilan terdahulu.

Pentas RadjaWali Live in Malaysia dianjurkan oleh Impian Al Fateh Sdn. Bhd. dan GIS Entertainment & Events, dengan Infinity Love Creative Ventures (ILCV Events) sebagai penganjur bersama. Tiket-tiket kini mula dijual melalui Fantopia.io dan juga boleh dibeli dengan lebih mudah menggunakan ShopeePay.
Harga tiket bermula dari RM177 sehingga RM977 mengikut kategori tempat duduk. Para peminat disarankan mendapatkan tiket mereka lebih awal bagi memastikan tempat di konsert yang dijangka menjadi antara acara paling hangat pada awal tahun 2026 ini.