SETELAH tiada penganjuran sejak dua tahun lalu, Taiwan Expo bakal kembali dan kali ini akan diadakan di Pulau Pinang pada 5 dan 6 Julai ini.
Wakil Pejabat Kebudayaan dan Ekonomi Taipei (Malaysia), Anne Hung berkata, Taiwan Expo 2019 akan diadakan di Pusat Konvensyen Spice Arena, Bayan Baru.
Menurutnya, Taiwan Expo 2019 mengandungi enam kategori yang disesuaikan dengan pelan pembangunan Pulau Pinang dan mengukuhkan hubungan antara Malaysia dan Taiwan.
“Pulau Pinang merupakan bandaraya kedua terbesar di Malaysia dan kali ini, Taiwan Expo 2019 memilih negeri ini untuk penganjurannya setelah dua tahun lalu diadakan di Kuala Lumpur.
“Enam kategori tersebut adalah Industri 4.0, teknologi hijau, perubatan, produk halal, fesyen, budaya dan pelancongan. Ekspo ini akan disertai lebih 100 pengilang di 110 gerai pameran.
“Taiwan Excellence Pavilion akan mempamerkan pelbagai jenama terkemuka yang dipacu revolusi Industri 4.0 Taiwan antaranya lengan robotik dari HiWin dan solusi pengurusan kesihatan dari Advantech,” katanya pada sidang media di sini semalam.
Anne Hung (tiga dari kiri) mengiringi Abdul Halim mengadakan lawatan di pameran mini selepas sidang media semalam.
Turut hadir, Exco Perdagangan Dalam Negeri & Antarabangsa, Hal Ehwal Pengguna dan Pembangunan Keusahawanan, Datuk Abdul Halim Hussain.
Anne Hung berkata, sejak 2017, penganjur, Biro Perdagangan Luar Negeri dan Majlis Pembangunan Perdagangan Luar Negeri Taiwan (Taitra) berusaha menjadikan Taiwan Expo sebagai platform untuk pelbagai perniagaan dan media di Malaysia.
“Salah satu matlamat utama expo ini adalah memperkenalkan pelbagai teknologi maklumat dan komunikasi, solusi trafik pintar, produk inovatif dan solusi e-dagang dari Taiwan untuk bantu Pulau Pinang capai aspirasi Agenda Hijau,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Pejabat Wilayah Utara Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade), Sharifah Nazreen Farhana Syed Marzuki berkata, Taiwan merupakan rakan perdagangan keenam terbesar Malaysia dengan nilai RM96.09 bilion bagi tahun lalu.
Menurutnya, jumlah itu menyumbang 5.1 peratus dalam saham perdagangan global Malaysia.
“Pada 2018, Taiwan merupakan destinasi eksport ke-11 terbesar di Malaysia. Jumlah eksport Malaysia ke Taiwan meningkat 35.7 peratus dengan nilai RM32.53 bilion berbanding 2017 iaitu RM23.96 bilion. Antara produk utama yang menyumbang kepada pertumbuhan eksport adalah elektrik dan Eeektronik (44.6 peratus), peralatan optik dan sains (8.6 peratus) dan produk petroleum (6 peratus),” katanya.