Program “HELLO KEDAH 2024” – Mengukuhkan hubungan antara masyarakat

Alor Setar, Kedah – Penganjuran program Hello Kedah yang diadakan pada 5 Julai 2024 di Perkarangan Stadium Sultan Abdul Halim, Alor Setar Kedah menampilkan sinergi kreatif Nu Ideaktiv sebagai rakan penganjur bersama Astro dengan misi untuk memupuk semangat kekitaan dan perpaduan dalam kalangan masyarakat setempat. Selain itu, ia juga dapat mengukuhkan silaturahim komuniti dengan mewujudkan platform untuk masyarakat berkumpul dan berinteraksi bagi memperkukuhkan hubungan silaturahim antara penduduk. Dengan program Hello Kedah ini, dapat menggalakkan penglibatan masyarakat dalam aktiviti-aktiviti yang menyumbang kepada pembangunan dan kesejahteraan komuniti setempat.
Masyarakat Kedah tidak ketinggalan menyertai program Hello Kedah ini dengan menjadi vendor-vendor jualan makanan dan minuman secara tidak langsung dapat membuka peluang untuk penduduk Kedah menambah pendapatan di samping membuat promosi jualan murah produk-produk jualan mereka. Vendor makanan menjual pelbagai jenis makanan dan minuman tradisional serta moden yang sedap dan terkenal di Kedah.
Program Hello Kedah ini dapat membuka peluang pekerjaan kepada penduduk setempat melalui penggunaan tenaga kerja tempatan yang terlibat dengan pelbagai pengurusan dan pelaksanaan acara sepanjang tempoh program ini berlangsung. Selain daripada itu, program ini juga dapat memberi sokongan ekonomi kepada peniaga kecil dan sederhana di Kedah dengan menyediakan platform untuk mereka mempromosikan produk dan perkhidmatan mereka. Sokongan ini bukan sahaja membantu peniaga tempatan tetapi juga mengukuhkan ekonomi setempat dengan menggalakkan penggunaan produk dan perkhidmatan buatan tempatan.

 

Program “Hello Kedah” menampilkan pelbagai aktiviti dan persembahan menarik yang sesuai untuk semua peringkat umur.

Selain itu, kami juga akan merasmikan pelancaran aplikasi seeNI dan laman web baharu KLiiK, yang pasti akan menarik perhatian ramai dan membawa manfaat besar kepada komuniti. SeeNI adalah aplikasi yang menggabungkan lebih dari 20 portal majalah terkemuka seperti NONA, RASA, Remaja, Media Hiburan, Mingguan Wanita, Keluarga, Impiana dan banyak lagi, seiring dengan kecanggihan dunia yang telah meletakkan segala pusat maklumat di hujung jari.
Di SeeNI, terdapat pelbagai hidangan konten, dalam pelbagai format yang menarik, daripada artikel, video, sehinggalah ke konten audio yang memenuhi minat anda. Manakala Kliik, ialah sebuah portal komuniti aktif, di mana kami menggerakkan pelbagai aktiviti untuk pengguna atas talian khususnya pengguna Ideaktiv. Setiap Kliik membawa manfaat seperti ganjaran tambahan, akses ke pertandingan, sample percuma, event, seminar dan webinar yang menarik semuanya di bawah satu portal!
Program Hello Kedah ini akan menunjukkan kepada komuniti terdapat pelbagai rancangan di Astro serta penyertaan komuniti dari portal majalah kekeluargaan, Makanan, New Gen & lelaki daripada Ideaktiv. Antara aktiviti yang berlangsung adalah senaman “Pound Stick“, Himpunan citi-cita Bintang Kecil, Pertandingan mewarna Bintang Kecil dan juga gunting rambut secara percuma di booth Ideaktiv. Selain itu, program ini dirancakkan lagi dengan kehadiran selebriti tempatan seperti Hisyam Hamid, Sharifah Sakinah, Shiha Zikir, Naqiu, Sepahtu dan ramai lagi yang menjanjikan aktiviti yang penuh dengan kemeriahan.

Penampilan Khas selebriti tempatan ini telah memeriahkan suasana dengan persembahan mereka dan juga pengunjung berpeluang berinteraksi dengan artis kegemaran mereka melalui sesi autograf dan bergambar.
Ketua Pegawai Eksekutif Nu Ideaktiv, Encik Syamil Fahim berkata, “Buat julung kalinya, kami diberi penghormatan untuk menganjurkan Siri Hello yang sememangnya sinonim dengan Astro dan kami gunakan kekuatan kami sebagai perantara komuniti untuk membentuk aktiviti dan program yang disediakan untuk Hello Kedah. Selain daripada menjadi usaha murni untuk mengeratkan hubungan antara komuniti setempat, kami cuba untuk memastikan setiap program Astro dan pengisian jenama-jenama Ideaktiv dipromosikan secara maksimum. Hello Kedah ini juga dilihat sebagau medium untuk kami berinteraksi dengan warga Kedah dengan lebih dekat. Kami berbangga dapat bekerjasama dengan Astro Marketing dalam menjayakan program ini, serta memperkenalkan aplikasi seeNI dan laman web baharu KLiiK yang akan memberikan kemudahan dan manfaat besar kepada penduduk Kedah. Sinergi antara Nu Ideaktiv dan Astro dalam menganjurkan program ‘Hello Kedah’ adalah contoh terbaik bagaimana dua entiti besar boleh bergabung untuk membawa manfaat kepada komuniti.”
Dengan ini, diharapkan program “Hello Kedah” akan menjadi satu acara yang dapat memberikan impak positif kepada masyarakat dan ekonomi tempatan.