Program Associate Trainers lahirkan asatizah, jurulatih #QuranHour

Program Associate Trainers lahirkan asatizah, jurulatih #QuranHour

YAYASAN Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) buat julung kalinya menganjurkan program Associate Trainers #QuranHour untuk melahirkan asatizah dan jurulatih #QuranHour.

Berlangsung pada 10 November lalu di Kumpulan Media Karangkraf, Shah Alam, Selangor, para peserta yang terdiri daripada asatizah dan jurulatih bakal membawa al-Quran melalui baca, faham dan amal atau disebut Quran Tadabbur & Tazakkur (QTT) kepada masyarakat.

Ketua Pegawai Eksekutif WUIF, Marhaini Yusoff berkata, program tersebut bertujuan untuk melahirkan pembawa panji al-Quran dan hadis sebagai ejen perubahan masyarakat dengan membawa nilai-nilai mulia tersebut.

Katanya, mereka diharapkan membawa visi WUIF iaitu legasi akhlak al-Quran dan misi, berinterakasi dengan al-Quran secara total. Ia berdasarkan kepada Surah al-Tahrim, ayat 6 yang mengajak kita menyelamatkan diri dan keluarga daripada api neraka.

“#QuranHour merupakan kempen berimpak tinggi yang diinisiatifkan oleh WUIF untuk menggalakkan setiap individu berinteraksi dengan al-Quran melalui baca, faham dan amal.

“Usaha tersebut menjadikan nilai-nilai mulia daripada al-Quran dan hadis untuk membentuk kerangka fikir dan akhlak Muslim sejati, seterusnya membawa perubahan positif tamadun insan,” katanya ketika ditemui pada program berkenaan baru-baru ini.

Antara aktiviti terlibat seperti Kempen Keagungan al-Quran dalam mewujudkan kesedaran masyarakat kepentingan untuk berinteraksi dengan al-Quran melalui baca, faham dan amal al-Quran serta sunah melalui inisiatif World #QuranHour, Malaysia #QuranHour, New Year #QuranHour, World Convention Al-Kahfi dan Konvensyen Sahabah al-Quran.

Selain itu, terdapat aktiviti QTT dalam penyelarasan kerangka fikir melalui #savingfamilies yang menyasarkan 3,000 ikon keluarga sebagai model dalam melaksanakan al-Quran dan sunah; #savinglegacy dalam melahirkan bangsa berbudi dan penyayang dan #savingthenation bagi mewujudkan Negara Rahmah, model Malaysia yang berpandukan al-Quran dan sunah.

Misi Surah al-Rahman

Marhaini berkata, misi #QuranHour pada 1441H /2020 yang membawa kempen Reboot Malaysia Harmony memilih Surah al-Rahman yang mengajak kita untuk mensyukuri empat nikmat iaitu din (al-Quran), al-Insan (penciptaan manusia), al-Bayaan (dapat menyampaikan rasa yang tidak memiliki makhluk) dan matahari serta bulan (penciptaan alam semesta).

Menurut beliau, al-Rahman ialah nama ALLAH yang bermaksud Maha Pengasih membawa nilai compassion. Semoga nilai al-Quran yang diterapkan melalui surah berkenaan dapat membawa keharmonian kaum di Malaysia, seterusnya menjadi negara berbudi dan penyayang.

Sementara itu Ketua Pegawai Penyelidik WUIF, Fazrul Ismail berkata, program Associate Trainer #QuranHour dapat melahirkan asatizah dan jurulatih yang boleh menyampaikan mesej al-Quran melalui kemahiran tadabbur dan tazakkur yang mudah, bersistematik dan praktikal.

“Peserta akan mengikut beberapa latihan Training of Trainers kepada tiga peringkat iaitu tahap 1 yang melibatkan kemahiran tadabbur dan tazakkur, tahap 2 (penyelidikan dan pembangunan) dan tahap 3 (kemahiran penyampaian).

“Program itu mengambil masa enam bulan hingga setahun selama enam siri perjumpaan atau kelas secara offline. Selain itu, mereka turut diberi tugasan secara offline dan online serta menjalani praktikal dalam program WUIF,” katanya.

Program Associate Trainers #QuranHour memerlukan komitmen peserta untuk bersama membawa gelombang al-Quran dari Malaysia ke peringkat global bermula dengan diri sendiri, keluarga, masyarakat dan negara.



Sumber

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *