Program World #QuranHour 2022 ini mendapat kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), TV Alhijrah, Islamic Tourism Center (ITC), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), badan kerajaan dan bukan kerajaan dalam dan luar negara.
Menjelang program tersebut, Sinar Harian berpeluang menemu bual Ketua Pegawai Eksekutif TV Alhijrah, Namanzee Harris untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai persiapan menjelang World #QuranHour serta harapannya terhadap program tersebut.
SINAR HARIAN: Pandangan Namanzee mengenai penglibatan TV Alhijrah sebagai penyiar utama bagi program World #QuranHour 1443H?
NAMANZEE: TV Alhijrah mempunyai pengalaman istimewa dan luar biasa saat kami meletakkan keyakinan pada ALLAH untuk terus berinteraksi dengan kalam-NYA. Bermula dengan Malaysia #QuranTime, kemudian kita jenamakan sebagai MY #QuranTime, penonton menyambut baik inisiatif stesen ini untuk memberi pemahaman tentang al-Quran. Saya merasakan World #QuranHour merupakan platform sangat baik untuk diketengahkan, dijadikan sebagai acara tahunan yang harus diikuti oleh rakyat Malaysia beragama Islam. Untuk itu, saya berasa bangga dan berbesar hati apabila TV Alhijrah menjadi penyiar utama program World #QuranHour 1443H.
Sebelum ini TV Alhijrah turut menjadi penyiar utama program #QuranHour sejak 2020. Apakah impak yang dilihat oleh pihak TV Alhijrah dalam mengajak orang ramai untuk mendekati al-Quran?
TV Alhijrah melihat #QuranHour sebagai pemula kepada rancangan My#QuranTime, program yang menjadi tunjang utama stesen ini dalam membawa masyarakat menghayati al-Quran melalui cogan kata baca, faham dan amal. Inisiatif ini secara tidak langsung mengajak penonton menghargai waktu yang diluangkan untuk memuliakan al-Quran.
Pandangan mengenai inisiatif yang dibawa oleh Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) untuk membawa kempen gerakan al-Quran termasuk Malaysia #QuranHour dan World #QuranConvention?
Saya melihat inisiatif yang dijalankan WUIF sebagai memperkasakan agenda penyatuan dan kekuatan ummah yang mana al-Quran dijadikan sumber rujukan dan jawapan kepada semua permasalahan masa kini. Pastinya amat sukar serta berdepan dengan pelbagai rintangan, namun syabas dah tahniah buat WUIF kerana berjaya merancang pelaksaan World #QuranHour secara serentak di peringkat dunia.
Program MyQuranTime menjadi tarikan penonton untuk setia bersama mengikuti di TV Alhijrah. Setakat ini, berapa ramai penonton TV Alhijrah?
Sehingga kini, program MyQuranTime telah mengumpul sebanyak 10.3 juta penonton.
Boleh ceritakan impak program berinteraksi dengan al-Quran terhadap kesedaran masyarakat untuk baca, faham dan amal al-Quran?
Umat Islam adalah satu-satunya umat yang paling beruntung di dunia kerana memiliki wahyu ALLAH yang terpelihara dalam keadaan utuh, masih aman ketika ia diturunkan buat Nabi Muhammad SAW. Jadi sebagaimana agungnya al-Quran ini, begitu jugalah impaknya bukan sekadar pada, keluarga malah kepada bangsa, agama dan negara serta peradaban dunia. Saya percaya interaksi dengan al-Quran adalah satu-satunya cara yang boleh mendapatkan kebahagiaan, ketenangan dan kejayaan dalam kehidupan di dunia dan insya-ALLAH di akhirat kelak.
Apakah perancangan dan persiapan penganjuran World #QuranHour yang julung kali bersiaran langsung secara fizikal bersama tetamu jemputan di TV Alhijrah pada tahun ini?
Segala perancangan dan persiapan telah dilakukan sejak dua bulan lalu dan antaranya menentukan strategi promosi dan penentuan konsep serta olahan persembahan program. Selain itu kami juga akan memastikan pemilihan surah yang disampaikan bersesuaian dengan tema yang ditetapkan dalam penyampaian tadabbur. Bagi memastikan kapasiti di studio sesuai dengan program ini, kami telah berbincang bersama pihak WUIF secara terperinci dari segi jumlah pentadabbur dan qari utama yang terlibat selain mengenal pasti jumlah peserta pada program ini.
World #QuranHour tahun ini diadakan dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), TV Alhijrah, Islamic Tourism Center (ITC), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), badan kerajaan dan bukan kerajaan dalam dan luar negara.
Di samping itu juga, persiapan dari aspek look and feel konsep serta penyampaian program juga diambil kira dan dibincang rapi untuk memberi kelainan berbanding program World #QuranHour tahun sebelumnya. Apa yang kami hasratkan, program ini dapat menyemarakkan dunia dengan amalan membaca al-Quran dan memahami kandungannya.
Berapa ramai kru dan kos yang terlibat dalam menjayakan program World #QuranHour tahun ini?
Seramai 40 orang kru akan terlibat menjayakan program dan dianggarkan menelan kos hampir RM50,000 bagi menjayakan program World #QuranHour tahun ini.