Menjelang ketibaan Hari Raya Aidilfitri, Yayasan MR D.I.Y., cabang amal bagi Kumpulan MR D.I.Y. [M] Berhad [MR D.I.Y.], terus berusaha menyemai semangat perpaduan dan kepedulian dalam kalangan masyarakat.
Sebagai sebahagian daripada inisiatif ‘Raya Penuh Makna’, Yayasan MR D.I.Y. baru-baru ini mengadakan kunjungan ke Rumah Bakti Nur Syaheera di Kuala Lumpur untuk menganjurkan majlis berbuka puasa yang penuh bermakna.
Sepanjang program tersebut, para sukarelawan Yayasan MR D.I.Y. meluangkan masa berinteraksi dengan kanak-kanak di rumah kebajikan berkenaan melalui pelbagai permainan dan aktiviti menghias rumah sempena sambutan Hari Raya. Untuk menambahkan lagi keceriaan, Yayasan MR D.I.Y. turut menyumbangkan kotak hadiah ‘Raya Penuh Makna’ yang mengandungi barangan keperluan harian serta hiasan Hari Raya, di samping baucar tunai MR D.I.Y. bernilai RM3,000. Naib Presiden Pemasaran Kumpulan MR D.I.Y., Alex Goh, turut hadir bagi memeriahkan majlis tersebut.

Ketua Pegawai Eksekutif [CEO] Yayasan MR D.I.Y., Zaleha Mohd Mydin, berkata, “Kami di Yayasan MR D.I.Y. percaya bahawa setiap perayaan harus membawa makna yang mendalam kepada semua lapisan masyarakat. ‘Raya Penuh Makna’ merupakan komitmen kami untuk menyokong komuniti setempat serta menggalakkan amalan kebaikan. Inisiatif ini bukan sahaja mengeratkan hubungan dan memperkukuh perpaduan, tetapi juga memastikan setiap individu dapat merasai kemeriahan Aidilfitri.”
Selain kunjungan ini, Yayasan MR D.I.Y. turut mengedarkan kotak hadiah ‘Raya Penuh Makna’ yang mengandungi barangan keperluan kepada 13 rumah kebajikan lain di seluruh negara.
Dalam usaha menyemai nilai berkongsi rezeki, Yayasan MR D.I.Y. juga telah mengedarkan bubur lambuk kepada pengguna pengangkutan awam. Sebanyak 400 pek bubur lambuk telah diagihkan di Terminal Bersepadu Selatan (TBS), manakala 100 pek lagi diberikan kepada orang ramai di stesen Semantan dan Kota Damansara. Penyediaan bubur lambuk di TBS turut mendapat kerjasama daripada sukarelawan Yayasan MR D.I.Y. dan jawatankuasa Masjid Taman Bukit Belimbing, mencerminkan semangat kebersamaan dan sikap saling membantu.

“Kami amat berterima kasih kepada rumah-rumah kebajikan serta organisasi yang menerima kunjungan kami dan berkongsi detik istimewa ini bersama. Penghargaan juga diberikan kepada para sukarelawan yang telah bekerja keras menjayakan inisiatif ‘Raya Penuh Makna’. Semoga usaha ini membawa kebahagiaan kepada semua yang menyambut Hari Raya Aidilfitri,” tambah Zaleha.
Untuk maklumat lanjut mengenai program dan inisiatif Yayasan MR D.I.Y. sempena musim perayaan ini, layari mrdiy.com, mrdiy.com.my atau ikuti mereka di Facebook, Instagram, dan TikTok.