Penyata TNB jelas dan mudah difahami pengguna

KUALA LUMPUR – Penyata terperinci caj bil elektrik sejak April yang dikeluarkan bulan ini memberi kefahaman lebih jelas buat pengguna yang sebelum ini berdepan ‘kejutan’ melihat kadar terkumpul yang perlu dibayar.

Rata-rata mereka berpuas hati dengan pendekatan yang dilakukan Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang turut memperincikan manfaat Bantuan Prihatin Elektrik (BPE) diterima bagi bulan April, Mei dan Jun dalam bil tersebut.

Seorang pemilik kedai dobi, Datin Saraswathy @ Priangaa, 45 berkata, dia belum menerima penyata namun telah melihat contoh penyata tersebut yang disifatkan mampu memberi penjelasan yang mudah difahami.

Saraswathy gembira contoh penyata dilihatnya mampu memberi penjelasan mengenai caj elektrik yang mudah difahami.

Saraswathy gembira contoh penyata dilihatnya mampu memberi penjelasan mengenai caj elektrik yang mudah difahami.

“Penyata terperinci ini sangat bagus kerana daripada penyata ini kita dapat lihat jumlah penggunaan elektrik yang sebenar sejak April.

“Contohnya seperti saya sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) semua anak ada di rumah tiga pendingin hawa digunakan. Jadi jumlah caj tinggi sedikit agak munasabah.

“Dalam masa sama, kita juga dapat diskaun melalui BPE. Setiap orang boleh lihat berapa manfaat yang diperoleh,” katanya ditemui di Kedai Tenaga Kepong di sini baru-baru ini.

Menurutnya, meskipun tidak menerima BPE dalam jumlah yang besar namun beliau percaya ramai pengguna yang mendapat manfaat daripada insentif itu.

Sementara itu, bagi ahli perniagaan, Lim Ching Hock, 45, inisiatif TNB menyediakan penyata terperinci wajar dipuji.

Ching Hock menggunakan aplikasi untuk pembayaran bil elektrik setiap bulan.

Ching Hock menggunakan aplikasi untuk pembayaran bil elektrik setiap bulan.

Katanya, pengguna yang tidak faham tentang caj dikenakan perlu mengambil tindakan untuk tampil mendapatkan penjelasan sebenar supaya dapat memahami kaedah digunakan.

“Saya datang untuk semak penyata sepanjang 2019. Untuk caj elektrik, saya memang bayar secara dalam talian setiap bulan kira-kira RM500 jadi tiada tunggakan.

“Mungkin ramai yang bayar secara online tapi tak faham apa dibayar. Jadi apabila datang sini dapatkan penjelasan, baru mereka faham.

“Lebih baik bawa bil dan fahamkan bukannya hanya bising di media sosial. Dalam masa sama, kita juga tahu apa yang kita bayar,” katanya.

Pada 20 Jun 2020, kerajaan bersama TNB mengumumkan pemberian BPE sebagai pakej bantuan tambahan kepada semua 7.66 juta pelanggan domestik melalui pembiayaan penggunaan elektrik percuma sehingga RM231 untuk tempoh tiga bulan pelaksanaan PKP iaitu April, Mei dan Jun 2020 dan bantuan itu akan dinyatakan dalam bil bacaan sebenar.

Di samping itu, pengguna domestik yang menggunakan elektrik antara 601 – 900 kWj sebulan akan menikmati diskaun sebanyak 10 peratus iaitu tambahan 8 peratus daripada kadar diskaun sedia ada sebanyak 2 peratus bermula bulan April 2020 hingga Disember 2020.

Untuk pertanyaan lanjut mengenai bil, hubungi talian TNB CareLine 1-300-88-5454 atau e-mel [email protected] atau kunjungi Kedai Tenaga berhampiran.

Pak cik saya faham dan dia gembira

“Apabila saya sudah faham, lebih mudah untuk saya jelaskan kepada pak cik saya tentang bil elektrik di rumahnya,” kata suri rumah, Lee Mee Thing, 35.

Mee Thing menunjukkan penyata bil elektriknya.

Mee Thing menunjukkan penyata bil elektriknya.

Penduduk Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Beringin itu berkata, selama ini beliau membuat bayaran di pejabat pos berdasarkan bil bulanan yang diterima.

Bagaimanapun katanya, dengan bil terperinci yang diterima, beliau dapat memahami kaedah pengiraan sebenar.

“Pak cik saya mahu tahu berapa jumlah yang perlu dibayar. Jadi saya datang untuk fahamkan bil bagi pihaknya.

“Sekarang saya sudah faham dan boleh beritahu dia. Dia juga sangat gembira bila dapat tahu tentang Bantuan Prihatin Elektrik (BPE),” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, beliau juga tidak terkecuali mendapat manfaat daripada BPE namun menggunakan kelebihan itu untuk bayaran bil elektrik akan datang.

“Ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) banyak elektrik digunakan. Anak-anak juga belajar secara dalam talian. Tapi setiap bulan memang saya akan bayar lebih daripada caj yang dikenakan.

“Jadi untuk diskaun yang saya terima, saya tidak mahu tuntut wang, tapi akan guna untuk bil berikutnya,” katanya.



Sumber