Pemulihan Segmen Pembinaan dan EPCC Suku Ketiga Lonjakkan PAT 9B TK2026 SCIB kepada RM5.19 Juta

Penjajaran semula operasi perniagaan Sarawak Consolidated Industries Berhad (SCIB) mula membuahkan hasil ketara apabila segmen Pembinaan dan EPCC terasnya kembali mencatatkan keuntungan pada suku ketiga tahun kewangan 2026 (S3 TK2026). Segmen tersebut merekodkan keuntungan sebelum cukai (PBT) sebanyak RM7.17 juta berbanding kerugian sebelum cukai (LBT) RM8.72 juta pada suku kedua, manakala hasilnya meningkat mendadak 116.7% kepada RM24.02 juta berbanding RM11.09 juta sebelumnya.

Lonjakan prestasi operasi teras ini menjadi pemacu utama kepada pencapaian keuntungan selepas cukai (PAT) Kumpulan sebanyak RM5.19 juta dan PBT RM6.03 juta bagi tempoh sembilan bulan pertama (9B TK2026) atas hasil keseluruhan RM129.64 juta. Walaupun S3 TK2026 merekodkan kerugian selepas cukai Kumpulan sebanyak RM1.56 juta akibat pelarasan penyatuan transaksi antara syarikat pra-pelupusan bagi operasi pembuatan yang dihentikan, asas kewangan SCIB kini jauh lebih mampan selepas penjualan SCIB Concrete Manufacturing Sdn. Bhd. (SCM) bernilai RM15.52 juta selesai sepenuhnya pada 22 Mei 2026.

Mr. Michael Tan Thian Zhi, Executive Director and Chief Executive Officer of SCIB

Menurut Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, En. Michael Tan Thian Zhi, keutamaan syarikat kini adalah menterjemahkan saluran paip projek yang diperbaharui kepada pendapatan berulang menerusi pelaksanaan berdisiplin dan kawalan kos yang ketat. Strategi ini diperkukuhkan lagi dengan perolehan empat kontrak pembinaan di Sabah bernilai RM90.28 juta sejak April 2026, merangkumi pembinaan fasiliti pendidikan di SMK Balaban Jaya (Beluran), Universiti Malaysia Sabah, SK Kaingaran (Tambunan), dan blok asrama Institut Pendidikan Guru Kampus Keningau.

Bagi menyokong pertumbuhan jangka panjang, SCIB turut memperkemas barisan kepimpinannya dengan pelantikan Encik Wi Kim Swee sebagai Timbalan Pengerusi Eksekutif. Berbekalkan pegangan saham utama sebanyak 9.27% serta pengalaman luas dalam perancangan strategik, pengurusan operasi dan kewangan, pelantikan beliau dijangka memacu sinergi antara sektor EPCC dan inisiatif pembangunan hartanah terpilih syarikat di Sabah demi pulangan pemegang saham yang berterusan.