PEMAIN perbankan dan kewangan Islam perlu giat melabur dalam teknologi bagi mengubah cara mereka menjalankan perkhidmatan perbankan serta menyebarkan produk merela dengan lebih cekap dan berkesan.
Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata penggunaan teknologi pintar dalam industri kewangan atau dikenali sebagai teknologi kewangan (fintech), telah membawa kesan positif kepada industri tersebut serta industri lain seperti dalam pembayaran mudah alih, pindahan wang, pinjaman, pengumpulan dana dan pengurusan aset.
“Teknologi terkini yang diterima pakai oleh fintech memanfaatkan Internet, peranti mudah alih, integrasi media sosial, analisis data raya dan kecerdasan buatan (AI) yang menjadikan urus niaga kewangan lebih berautomasi, mesra pengguna dan selesa, justeru memudahkan lagi pelanggan.
“Fintech juga menembusi industri kewangan Islam walaupun ia dianggap masih lagi di peringkat awal.
“Bagaimanapun, potensi gangguan kepada kewangan Islam tradisional tidak sepatutnya diambil mudah. Gangguan boleh berlaku dalam kedua-dua cara,” katanya pada Forum Kewangan Islam Kuala Lumpur ke-15 2019 di sini, hari ini.
Dr Mahathir berkata kemajuan evolusi dalam industri perbankan dan kewangan Islam telah meningkatkan sejak beberapa tahun kebelakangan ini dengan konsep kewangan Islam diserapkan ke dalam banyak produk kewangan bagi memenuhi perubahan keperluan pengguna, perniagaan dan pelabur.
Beliau berkata landskap itu telah disokong oleh kawal selia, undang-undang, perakaunan, rangka kerja yang dibangunkan dengan baik dan diperkuatkan lagi dengan penyelidikan dan pembangunan yang perlu.
Inisiatif untuk menggalakkan lagi kesedaran dan pendidikan dalam kalangan orang Islam dan bukan Islam juga terus dipermantapkan, katanya.
Perdana Menteri berkata pilihan pendanaan awam dan pembiayaan antara rakan setara (P2P) daripada fintech menyediakan penyelesaian kepada individu atau perusahaan kecil dan sederhana yang memerlukan pembiayaan tetapi tidak layak memperolehnya daripada institusi kewangan Islam tradisional.
Para pelabur juga layak mendapat potensi pulangan tinggi dengan melabur secara terus ke dalam usaha niaga yang mereka biayai menerusi pasaran pembiayaan dalam talian, katanya.
“Keseluruhannya, fintech dalam kewangan Islam memberi sumbangan positif kepada evolusi penawaran produk dan perkhidmatan kewangan Islam.
“Penghapusan perantara kredit membawa kepada harga rendah dan/atau potensi pulangan tinggi,” jelasnya.
Dr Mahathir berkata Malaysia menerajui banyak pembangunan inovatif dalam kewangan Islam, dengan sasaran merancakkan lagi industri yang sedang berkembang maju ini, seperti penerbitan Sukuk Pelaburan Mampan dan Bertanggungjawab pertama dan Sukuk Hijau serta pelancaran Platform Akaun Pelaburan.
Langkah industri ke arah menerima Perantaraan berasaskan Nilai, yang dilancarkan oleh Bank Negara Malaysia pada 2015, akan mengukuhkan lagi kedudukan Malaysia sebagai peneraju dan meningkatkan pertumbuhan kewangan Islam ke arah menjana impak yang positif dan mampan kepada ekonomi, masyarakat dan alam sekitar, katanya.
“Kewangan Islam boleh menjadi pemangkin bagi pertumbuhan pembangunan hijau global.
“Ia memerlukan kerjasama berterusan dengan pemegang kepentingan global dan tempatan bagi membentuk standard dan pelaporan, serta merangsang inovasi, mengurangkan halangan dan kos bagi penerbit dan meningkatkan ketelusan serta kesedaran bagi pelabur,” kata perdana menteri. – Bernama