“Pelancaran Eksklusif: Ejen Ali The Movie 2 – Misi Baharu”

ejen ali the movie

Perhatian kepada semua ejen! Transmisi baharu telah diterima hari ini! Primeworks Studios dan WAU Animation dengan berbesar hati mengumumkan tayangan khas bagi misi baharu, “Misi: First Look Ejen Ali the Movie 2 (EATM 2)”, yang ditayangkan buat pertama kalinya.

Majlis pelancaran ini telah dirasmikan oleh Yang Berhormat Tuan Gobind Singh Deo, Menteri Digital, sebagai sebahagian daripada pelancaran program di Festival Kandungan Digital Malaysia 2024 (MYDCF) yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KL Convention Centre). Misi baharu EATM 2 ini adalah trailer teaser rasmi yang mempersembahkan aksi berintensiti tinggi, penuh misteri dan tanda tanya, serta disertai dengan babak-babak dan sinematik yang menyentuh hati untuk tontonan seisi keluarga.

Selepas kejayaan filem pertama Ejen Ali The Movie (EATM) pada tahun 2019, sekuel kedua, EATM 2, akan memperkenalkan Ejen Ali sebagai juruterbang Projek Satria, sebuah sut berperisai baharu dengan bantuan teknologi Kecerdasan Buatan (AI) yang direka untuk meningkatkan prestasi fizikal dan kemahiran mental ejen-ejen MATA semasa menjalani misi rahsia mereka. Sekuel yang dinanti-nantikan ini dijangka akan menggegarkan pawagam pada tahun 2025, mengekalkan barisan penyumbang suara utama termasuk Ida Rahayu Yusoff sebagai Ejen Ali bersama kucing peliharaannya, Comot, Noorhayati Maslini Omar sebagai Ejen Alicia, Shafiq Isa sebagai Ejen Bakar, serta Azman Zulkiply sebagai Rizwan dan Jeneral Rama.

Menurut En. Usamah Zaid Yasin, Pengarah EATM 2 dan Ketua Pegawai Eksekutif WAU Animation, “Kami sangat teruja untuk memperkenalkan tayangan pertama misi baharu Ejen Ali The Movie 2 di MYDCF hari ini. Kami di WAU telah berusaha keras dalam penyelidikan dan pembangunan untuk tidak hanya meningkatkan kualiti teknikal filem ini, tetapi juga untuk mencipta jalan cerita yang menarik bagi peminat yang menantikan misi seterusnya. Kami berharap filem ini akan mendapat maklum balas yang positif dan tidak sabar untuk bertemu dengan semua ejen yang setia di pawagam nanti.”

Puan Nini Yusof, Ketua Pegawai Eksekutif Primeworks Studios, pula berkata, “Ejen Ali The Movie 2 adalah antara filem yang sangat kami nantikan, dan kami ingin mengucapkan terima kasih kepada semua peminat serta MDEC atas sokongan berterusan mereka. Kami akan mendedahkan lebih banyak kandungan khas mengenai Ejen Ali The Movie 2 di seluruh platform Media Prima menjelang tayangannya. Saya ingin mengajak semua untuk meneroka peluang kerjasama sebagai rakan kongsi melalui kandungan penjenamaan, program pelesenan, dan pembarangan.”

Kepada semua ejen yang dihormati, jangan lepaskan peluang untuk bertemu dengan Ejen kegemaran anda di ruang pameran MYDCF Hall 4, KL Convention Center, yang dibawakan oleh Tonton dari 13 hingga 15 September 2024 (Jumaat hingga Ahad). Antara aktiviti menarik yang boleh anda sertai termasuk kuiz-kuiz tentang Ejen Ali, pameran jualan barang dagangan Ejen Ali, dan peluang untuk memenangi Samsung Smart TV bersaiz 65 inci! Untuk menyertai, daftarkan diri sebagai ahli baharu dan langgan pelan Tonton, atau buat pembelian barangan dagangan di reruai. Peminat tegar juga berpeluang bergambar bersama maskot Ejen Ali dan Ejen Alicia dalam sesi ramah mesra pada jam 12.00 tengah hari, 3.30 petang, dan 4.30 petang setiap hari.

Jangan lepaskan peluang untuk menyaksikan tayangan khas trailer teaser rasmi misi baharu “Misi: First Look Ejen Ali The Movie 2 (EATM 2)”, yang akan ditayangkan secara rasmi pada pukul 9.00 malam, 13 September 2024 di saluran YouTube rasmi Ejen Ali. Kunjungi www.youtube.com/ejenali untuk mendapatkan info menarik dan terkini mengenai Ejen Ali The Movie 2. Terima misi rahsia dan pastikan anda melaporkan diri!