PASANGAN KELUARGA BERENTAP DI PENTAS FAMILI DUO! BELLA ASTILLAH DAN WANI KAYRIE “MENCURI HATI ORANG NEGERI SABAH”

PASANGAN KELUARGA BERENTAP DI PENTAS FAMILI DUO! BELLA ASTILLAH DAN WANI KAYRIE “MENCURI HATI ORANG NEGERI SABAH”

Gandingan sepupu lagu kegemaran Negeri Di Bawah Bayu iaitu Sumandak Sabah dipersembahkan dan terbukti berjaya apabila berjaya membawa pulang hadiah RM10,000 pada minggu pertama! Adakah Bella Astillah dan Wani Kayrie dapat mengekalkan kemenangan mereka di Family Duo pada minggu berikutnya dengan topik yang dipilih oleh kumpulan itu?

Persembahan memukau Bella Astillah dan Wani Kayrie berjaya meraih komen-komen positif dari juri tetap Mas Idayu dan Ajai. Pilihan lagu yang bernas, pembawaan lagu yang santai berserta koreografi yang unik kepada budaya Sabah antara komen-komen yang berjaya memberikan pasangan selebriti itu markah keseluruhan tertinggi sebanyak 62.4%. Selain itu, pasangan keluarga yang mengambil kedudukan seterusnya adalah pasangan adik-beradik Ayda Jebat dan Fyna Jebat di tempat kedua dengan jumlah peratusan sebanyak 59.7% dan pasangan sepupu Naim Daniel dan Sissy Imann di tangga ketiga dengan jumlah peratusan 58.0%.

Fyna Jebat dan Ayda Jebat membawa kelainan kepada pentas mereka dengan persembahan nyanyian serta lakonan yang menampilkan tetamu istimewa, pelakon Aniq Suhair dan Bell Ngasri. Lagu R&B oleh penyanyi asal Agnez Mo juga disusun dengan gaya rock yang menyaksikan pentas Famili Duo tampak lebih garang dengan tema warna merah dengan berlatarbelakangkan gelanggang tinju.

Pasangan sepupu Naim Daniel dan Sissy Imann juga dilihat berani menyahut cabaran menggubah lagu popular Aku Skandal nyanyian asal kugiran Hujan. Harmoni melodi yang dibawa pasangan sepupu ini lebih menyerlah dengan menyuntik inspirasi genre jazz telah mendapat komen positif dari juri tetap.

Berikut adalah kedudukan lengkap bagi #FamiliDuoTV3 minggu pertama:

1. Bella Astillah & Wani Kayrie – Sumandak Sabah (62.4%)

2. Ayda Jebat & Fyna Jebat – Tak Ada Logika (59.7%)

3. Naim Daniel & Sissy Imann – Aku Skandal (58.0%)

4. Sabhi Saddi & Fareedpf K-Clique – Sinaran (45.4%)

5. Ara Johari & Shaffiq Erwin – medley Putus Atau Terus & Rumah Singgah (42.6%)

6. Siti Saida & Siti Sairah – medley Teman Tapi Mesra & Pupus & Pudar (35.4%)

7. Zaki Yamani & Yamani Abdillah – Saling Merindu (32.5%)

Episod yang akan datang menyaksikan tema band atau kumpulan yang dipilih oleh juara minggu pertama. Dengan penampilan keluarga yang mempunyai kekuatan vokal lagu kumpulan seperti FareedPF K-Clique dan puteri rock Ara Johari, dapatkah mereka membawa kelainan dan mencuri perhatian penonton pada minggu seterusnya?

Jangan ketinggalan untuk menonton musim terbaharu Famili Duo yang telah mula bersiaran pada 18 Disember 2022, setiap hari Ahad, siaran langsung dari Studio Sri Pentas 2, Shah Alam, pukul 9.00 malam dan strim langsung secara definisi tinggi di www.tonton.com.my. Gunakan tanda pagar #FamiliDuoTV3 untuk memeriahkan perbualan di sosial media.