Persatuan Agensi Pelancongan Umrah dan Haji Malaysia (PAPUH) bakal membawa satu platform pelancongan Islam terbesar menerusi penganjuran PAPUH Muslim Travel Fair 2026 yang berlangsung selama tiga hari bermula 31 Julai hingga 2 Ogos 2026 di Kompleks PKNS Shah Alam. Karnival ini dianjurkan bagi meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan mendapatkan perkhidmatan umrah, haji dan pelancongan daripada syarikat yang berlesen dan berdaftar, sekali gus membantu pengguna mengelakkan diri daripada menjadi mangsa penipuan pakej pelancongan yang semakin membimbangkan. Selain menawarkan pelbagai pakej pelancongan dalam dan luar negara, program ini turut menampilkan sesi konsultasi, perkongsian ilmu, promosi eksklusif dan aktiviti interaktif yang memberi nilai tambah kepada pengunjung. Majlis pelancaran karnival telah disempurnakan oleh Presiden PAPUH, Dato’ Sri Haji Razali Mohd Sham bersama barisan kepimpinan PAPUH yang turut memainkan peranan penting dalam penganjuran acara berkenaan. Beliau menjelaskan bahawa karnival ini merupakan satu inisiatif pendidikan pengguna agar lebih peka dalam memilih agensi pelancongan yang sah, selain mengingatkan orang ramai supaya berhati-hati dengan tawaran harga yang terlalu murah dan tidak selari dengan kos operasi semasa industri. Karnival ini juga menjadi platform memperkukuhkan ekosistem pelancongan Islam dan pelancongan mesra Muslim melalui penyertaan pelbagai pihak berkepentingan termasuk syarikat penerbangan, hotel, institusi kewangan Islam, pengendali umrah dan haji serta penyedia teknologi pelancongan. Sebagai pusat sehenti industri pelancongan Islam, pengunjung boleh mendapatkan pelbagai maklumat berkaitan pakej perjalanan, perlindungan takaful, kemudahan pembiayaan dan khidmat nasihat secara terus daripada pakar industri. PAPUH menjangkakan lebih 100 syarikat dan organisasi akan mengambil bahagian, manakala ribuan pengunjung dari seluruh negara dijangka hadir sepanjang tempoh penganjuran. Karnival ini turut menyasarkan pelbagai segmen masyarakat termasuk keluarga Muslim, bakal jemaah umrah dan haji, penjawat awam, usahawan, pelajar serta pencinta pelancongan. Buat julung kalinya, PAPUH memperkenalkan konsep penganjuran di pusat membeli-belah bagi mendekatkan industri dengan pengguna. Selepas Shah Alam, siri roadshow ini akan diteruskan ke beberapa negeri termasuk Johor, Melaka, Perak, Kedah, Kelantan, Pahang, Terengganu, Sabah dan Sarawak. Post navigation BYD Sime Motors Supercharges Asia-Pacific EV Market with Malaysia Launch of 2026 ATTO 3