Oslo Ibrahim Angkat Kisah Rumit “Situationship” Menerusi Single Baharu “People On The Side”

Jakarta, [22 Mei 2026] – Musisi solo pop alternatif, Oslo Ibrahim, kembali mencuri perhatian menerusi pelancaran single terbaharunya berjudul “People On The Side”, sebuah karya yang menyelami kerumitan emosi dalam hubungan tanpa kepastian atau lebih dikenali sebagai situationship. Dengan gaya penulisan yang jujur dan dekat dengan pengalaman ramai, lagu ini mengangkat kisah individu yang berada di posisi “orang di sisi lain” — hadir dalam hubungan, namun tanpa status atau arah yang jelas.

Mengekalkan identiti muziknya yang sinonim dengan melodi manis bernuansa melankolik, Oslo membawa pendengar menyelusuri perasaan hangat yang pada masa sama dipenuhi persoalan, rasa bersalah dan kekeliruan emosi. Menerusi lirik seperti “Don’t need to say sorry cause I’m the mess” dan “It’s a special song for people on the side,” beliau menggambarkan sisi rapuh seseorang yang terperangkap dalam hubungan yang kelihatan istimewa tetapi sebenarnya penuh ketidakpastian.

Menurut Oslo, lagu ini ditujukan kepada mereka yang hidup dalam “kawasan kelabu” percintaan — saat seseorang terasa seperti pilihan kedua, namun tetap memberikan rasa paling tulus dalam hubungan yang tidak pernah benar-benar mempunyai definisi. Pendekatan naratif ini menjadikan “People On The Side” bukan sekadar lagu cinta biasa, sebaliknya sebuah luahan emosi tentang realiti hubungan moden yang sering dialami tetapi jarang dibicarakan secara terbuka.

Dari sudut muzik, “People On The Side” menampilkan gabungan indie pop dan elemen ballad lembut yang menjadi kekuatan Oslo Ibrahim. Vokal yang intim dipadankan dengan susunan instrumen yang minimal tetapi efektif, menjadikan lagu ini terasa seperti perbualan peribadi yang disampaikan terus kepada pendengar. Aura reflektif dan emosinya menjadikan lagu ini sesuai menemani malam-malam sunyi, momen overthinking atau saat mengenang hubungan yang sukar ditafsirkan.

“People On The Side” kini boleh didengarkan di semua platform penstriman digital termasuk Spotify, Apple Music dan YouTube Music bermula 22 Mei 2026. Video lirik serta video muzik rasmi juga tersedia di saluran YouTube rasmi Oslo Ibrahim, menawarkan pengalaman yang lebih mendalam buat peminat yang ingin menyelami dunia emosi di sebalik karya terbaharu ini.