BANK Islam Malaysia Bhd menjangkakan kadar dasar semalaman (OPR) akan dinaikkan sebanyak 50 mata asas (bps) pada suku pertama tahun ini.
Bank Negara Malaysia (BNM) mungkin meningkatkan kadar itu sebanyak 25 bps dalam mesyuarat pada esok (Khamis) dan 25 bps lagi melalui mesyuarat pada Mac nanti, sekali gus menjadikan OPR kepada kadar terminal baharu sebanyak 3.25 peratus, sejajar dengan standard industri.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam, Firdaos Rosli berkata, BNM akan menangguhkan seketika kenaikan itu dan OPR mungkin akan kekal tidak berubah sepanjang separuh kedua tahun ini.
“BNM mungkin akan menilai semula keadaan (mengetatkan kitaran kadar faedah) untuk melihat hala tuju ekonomi global, khususnya di kawasan Euro kerana adalah tidak selesa untuk ekonomi yang begitu besar akan terus mendatar sepanjang 2023 (Bank Dunia menjangkakan pertumbuhannya 0.0 peratus pada Januari 2023),” katanya kepada pemberita dalam pembentangan “Tinjauan Ekonomi 2023: Bila Harga Kukuh” di sini pada Rabu.
Pengekalan kadar OPR yang rendah untuk terlalu lama boleh menimbulkan ketidakseimbangan makroekonomi di tengah-tengah aktiviti pengambilan risiko yang berlebihan.
Kenaikan berturut-turut dalam kadar itu, tanpa mengambil kira impak ke atas kos pinjaman keseluruhan kepada ekonomi Malaysia, bertujuan menghapuskan akomodasi kewangan yang berlebihan secara beransur-ansur dan bukan mengurangi inflasi.
BNM telah menegaskan bahawa pengurangan tahap akomodasi monetari akan diukur secara beransur-ansur, katanya.
Firdaos ketika mengulas mengenai pertumbuhan berkata, Bank Islam mengunjurkan tahun kewangan 2022 Malaysia berada pada 8.1 peratus, melangkaui anggaran rasmi iaitu antara 6.5 peratus hingga tujuh peratus, di tengah-tengah prestasi suku ketiga yang lebih kukuh daripada jangkaan.
“Bagaimanapun, melihat kepada rintangan pertumbuhan pada 2023, kami percaya pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebenar Malaysia akan menyederhana kepada 4.5 peratus tetapi lebih tinggi berbanding negara lain di rantau ini.
“Unjuran Bank Dunia pada Januari 2023 berkongsi pandangan yang sama, yang mana pertumbuhan Malaysia dijangka berada pada empat peratus tahun ini berbanding 7.8 peratus pada 2022,” katanya.
Sementara itu, Bank Islam menyatakan inflasi Malaysia yang memuncak pada 2022 akan menyederhana di tengah-tengah kadar pertukaran dolar US-ringgit serta kesan asas yang lebih baik.
Bank itu meramalkan ringgit diniagakan pada RM4.28 berbanding dolar US menjelang akhir 2023 (2022: RM4.40) dengan disokong oleh pertumbuhan berdaya tahan serta pembukaan semula ekonomi China.
“Harga akan kekal tinggi pada 2023 (dan) bank mengunjurkan inflasi utama akan sederhana kepada purata tiga peratus pada 2023 (2022: 3.4 peratus) dengan andaian bahawa kerajaan mengekalkan subsidi bahan api semasa,” kata Firdaos.
Bagaimanapun, inflasi pasti akan menunjukkan trend yang lebih tinggi daripada garis dasar bank sebanyak tiga peratus jika kerajaan meneruskan rasionalisasi subsidi pada tahun ini apabila harga minyak runcit meningkat.
“Bank menjangkakan Indeks Harga Pengguna (IHP) akan menokok sebanyak 0.42 peratus melebihi paras asas bagi setiap kenaikan 10 sen dalam RON95,” katanya sambil menambah opsyen untuk mengurangkan perbelanjaan pada 2023 adalah terhad.
Beliau berkata dengan jangkaan perbelanjaan pembangunan yang lebih banyak, Bank Islam mengunjurkan terbitan Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS) dan Terbitan Pelaburan Kerajaan (GII) akan lebih tinggi pada RM185 bilion berbanding RM175 bilion yang disaksikan semasa 2022.
“Penebusan ini dijangka mencecah RM83.3 bilion (2022: RM78.8 bilion).
“Selain itu, nisbah caj khidmat hutang yang lebih tinggi mungkin akan menyusul, menokok seiring dengan lonjakan kadar faedah,” katanya lagi.
Selain itu, beliau berkata, Bank Islam meramalkan hutang (MGS, GII dan Bil Perbendaharaan Islam Malaysia, MITB) kepada nisbah KDNK semakin menghampiri had statutori hutang (65 peratus) pada 64.1 peratus pada tahun semasa (2022: 63.3 peratus). – Bernama