KUALA LUMPUR, 2026 – Selepas lebih dua dekad mewarnai industri muzik tanah air menerusi karya-karya yang kekal relevan merentasi generasi, Noh Salleh terus membuktikan dirinya sebagai antara figura paling berpengaruh dalam landskap muzik alternatif Nusantara. Pada usia 41 tahun, beliau bukan sekadar dikenali sebagai penyanyi, malah turut dihormati sebagai komposer dan penulis lagu yang berjaya membentuk identiti muzik tersendiri sepanjang perjalanan seninya.

Keupayaan Noh menghasilkan karya yang dekat dengan jiwa pendengar serta keberaniannya meneroka pelbagai genre seperti rock alternatif, folk, pop, jazz, bossa nova dan muzik sinematik telah menjadikan beliau seorang pengkarya yang sentiasa berkembang. Sepanjang lebih 20 tahun berkarya, Noh bukan sahaja membina kelompok peminat yang setia, malah mencipta sebuah legasi yang terus menjadi rujukan dalam industri muzik tempatan.

Walaupun penampilan Noh di pentas konsert bukan lagi sesuatu yang asing, pengalaman menyaksikan lagu-lagunya dipersembahkan bersama iringan orkestra sentiasa memberikan dimensi yang berbeza. Karya-karya seperti Angin Kencang, Rahsia Tuhan, Bunga Di Telinga dan Sang Penikam bakal diberikan sentuhan baharu menerusi susunan muzik eksklusif oleh Aubrey Suwito, sekali gus menjanjikan persembahan yang lebih dramatik, emosional dan mengasyikkan.

Atas sebab itu, Altus Prohouse bersama CK Star Entertainment bakal menganjurkan Cadenza of the Soul: Noh Salleh with Aubrey Suwito Orchestra yang dijadual berlangsung di Idea Live Arena, Kuala Lumpur pada 8 November ini. Konsert berskala besar tersebut bukan sekadar sebuah persembahan hiburan, sebaliknya menjadi sebuah pengalaman artistik yang menggabungkan muzik, emosi dan penceritaan dalam satu malam istimewa.

Konsert ini juga menjadi persembahan solo kedua Noh Salleh dalam format orkestra selepas kejayaannya mengadakan konsert bersama Malaysian Philharmonic Orchestra (MPO) di Dewan Philharmonik Petronas pada November tahun lalu. Kali ini, konsep yang dibawakan lebih besar dengan gabungan kreativiti Noh dan kepakaran Aubrey Suwito sebagai pengarah muzik yang terkenal dengan susunan orkestra bertaraf antarabangsa.

Mengangkat judul Cadenza of the Soul, konsert ini diinspirasikan daripada perkataan Itali “Cadenza” yang merujuk kepada persembahan solo penuh ekspresi, manakala “Soul” melambangkan jiwa dan emosi. Gabungan kedua-dua elemen tersebut mencerminkan konsep persembahan yang memberi kebebasan kepada muzik untuk menyampaikan rasa, pengalaman dan perjalanan hidup menerusi karya-karya yang telah menjadi sebahagian daripada memori para pendengar.

Menurut wakil CK Star Entertainment dan Altus Prohouse, konsert ini merupakan penghargaan terhadap perjalanan seni Noh Salleh yang berjaya menyentuh hati peminat selama lebih dua dekad. Mereka percaya gabungan bersama Aubrey Suwito akan membuka dimensi baharu terhadap karya-karya Noh tanpa menghilangkan identiti asal yang menjadikan lagu-lagu tersebut begitu istimewa.

“Cadenza of the Soul: Noh Salleh with Aubrey Suwito Orchestra bukan sekadar sebuah konsert, tetapi sebuah penghormatan terhadap perjalanan seni Noh Salleh yang menggabungkan elemen muzik, penceritaan dan emosi dalam satu malam yang diraikan bersama para peminat.

“Konsert ini akan membuka lembaran baharu terhadap karya-karya yang selama ini menemani perjalanan hidup pendengar, namun dipersembahkan dalam susunan muzik yang belum pernah didengar dan dirasai sebelum ini.

“Kami juga percaya reputasi Aubrey Suwito sebagai antara pengarah muzik dan komposer paling disegani di Malaysia akan menjadikan kolaborasi ini sebuah pengalaman konsert yang unik, sekali gus mengangkat nilai artistik karya-karya Noh Salleh ke tahap yang lebih tinggi,” kata wakil CK Star Entertainment dan Altus Prohouse.

Menerusi persembahan ini, lagu-lagu pilihan Noh Salleh akan diberikan nafas baharu melalui susunan orkestra yang bukan sekadar memperindahkan muzik, malah membuka ruang kepada penonton untuk menghayati setiap karya daripada sudut yang lebih mendalam dan penuh emosi.

Sementara itu, Aubrey Suwito mengakui beliau tidak teragak-agak menerima pelawaan untuk menjayakan projek berkenaan kerana menganggap Noh Salleh sebagai antara karyawan seni paling berbakat dalam generasi masa kini.

“Saya tidak perlu berfikir panjang untuk menerima projek ini. Bagi saya, Noh Salleh ialah seorang karyawan yang cukup genius dan mempunyai identiti muzik yang sangat istimewa.

“Cadenza of the Soul: Noh Salleh with Aubrey Suwito Orchestra bakal menjadi sebuah perayaan muzik yang besar. Saya berharap penonton hadir untuk meraikan emosi bersama kami pada 8 November ini di Idea Live Arena dan pulang dengan penghargaan yang lebih mendalam terhadap karya muzik tempatan,” katanya.