Naskhah ‘Tingginya Menyapu Awan’ Kembali Menggegarkan Pentas Teater

Pementasan teater Tingginya Menyapu Awan, hasil karya Malina Manja dan arahan Dr. Marlenny Deenerwan, bakal menemui penonton pada 25, 26 dan 27 Julai 2025, bertempat di Auditorium Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur. Persembahan akan bermula pada jam 8.30 malam setiap malam dan terbuka kepada pencinta seni pentas yang ingin menyaksikan naskhah sarat emosi dan makna.

Pementasan ini merupakan inisiatif bersama Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JKKN WPKL), Pertubuhan Rumpun Seni Mekar Budaya serta Dewan Bahasa dan Pustaka. Ia dilaksanakan bagi menyemarakkan semula semangat teater tempatan, selain memartabatkan karya asli yang mencerminkan budaya serta identiti masyarakat Malaysia. Selain menjadi ruang kepada seniman untuk mempersembahkan bakat mereka, program ini turut memberi peluang kepada khalayak untuk mendekati dunia teater yang mendidik, kreatif dan penuh nilai.

Mengangkat kisah sekumpulan gelandangan yang menetap di kawasan setinggan pinggir kota, Tingginya Menyapu Awan menyajikan naratif tentang solidariti dalam kemiskinan. Komuniti ini hidup saling bergantung, membina harmoni walau dalam serba kekurangan. Konflik bermula apabila seorang warga emas yang tenat menyuarakan keinginannya untuk menikmati susu dan buah segar. Namun, hasrat tersebut terhalang apabila makanan itu dimakan oleh Melur, seorang gadis istimewa yang tidak memahami situasi sebenar. Kemunculan Melur dan ibunya mencetuskan rentetan peristiwa yang mendedahkan rahsia hubungan mereka dengan lelaki tua tersebut, sekali gus membangkitkan persoalan tentang dendam, kasih sayang, kematian dan nilai kemanusiaan yang tersirat.

Dengan pendekatan yang menyentuh jiwa serta gaya penceritaan yang realistik, karya ini menyentuh tema eksistensialisme dan realisme sosial secara mendalam. Ia menyajikan gambaran kehidupan masyarakat marjinal dengan penuh empati. Barisan pelakon yang menjayakan naskhah ini termasuk Jay Iswazir, Hazzy Alzeeq, Nik Aqil, Nain Hamdan, Adli Shinichi, Farhana Fahizam, Aizy Ezmi dan Azhar Ja’a.