Tag: #jkkn

  • Naskhah ‘Tingginya Menyapu Awan’ Kembali Menggegarkan Pentas Teater

    Naskhah ‘Tingginya Menyapu Awan’ Kembali Menggegarkan Pentas Teater

    Pementasan teater Tingginya Menyapu Awan, hasil karya Malina Manja dan arahan Dr. Marlenny Deenerwan, bakal menemui penonton pada 25, 26 dan 27 Julai 2025, bertempat di Auditorium Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur. Persembahan akan bermula pada jam 8.30 malam setiap malam dan terbuka kepada pencinta seni pentas yang ingin menyaksikan naskhah sarat emosi dan makna.

    Pementasan ini merupakan inisiatif bersama Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JKKN WPKL), Pertubuhan Rumpun Seni Mekar Budaya serta Dewan Bahasa dan Pustaka. Ia dilaksanakan bagi menyemarakkan semula semangat teater tempatan, selain memartabatkan karya asli yang mencerminkan budaya serta identiti masyarakat Malaysia. Selain menjadi ruang kepada seniman untuk mempersembahkan bakat mereka, program ini turut memberi peluang kepada khalayak untuk mendekati dunia teater yang mendidik, kreatif dan penuh nilai.

    Mengangkat kisah sekumpulan gelandangan yang menetap di kawasan setinggan pinggir kota, Tingginya Menyapu Awan menyajikan naratif tentang solidariti dalam kemiskinan. Komuniti ini hidup saling bergantung, membina harmoni walau dalam serba kekurangan. Konflik bermula apabila seorang warga emas yang tenat menyuarakan keinginannya untuk menikmati susu dan buah segar. Namun, hasrat tersebut terhalang apabila makanan itu dimakan oleh Melur, seorang gadis istimewa yang tidak memahami situasi sebenar. Kemunculan Melur dan ibunya mencetuskan rentetan peristiwa yang mendedahkan rahsia hubungan mereka dengan lelaki tua tersebut, sekali gus membangkitkan persoalan tentang dendam, kasih sayang, kematian dan nilai kemanusiaan yang tersirat.

    Dengan pendekatan yang menyentuh jiwa serta gaya penceritaan yang realistik, karya ini menyentuh tema eksistensialisme dan realisme sosial secara mendalam. Ia menyajikan gambaran kehidupan masyarakat marjinal dengan penuh empati. Barisan pelakon yang menjayakan naskhah ini termasuk Jay Iswazir, Hazzy Alzeeq, Nik Aqil, Nain Hamdan, Adli Shinichi, Farhana Fahizam, Aizy Ezmi dan Azhar Ja’a.

  • Festival Permainan Malaysia @ Kuala Lumpur 2024: Gabungan Budaya, Permainan Tradisi, dan Semangat Hari Malaysia

    Festival Permainan Malaysia @ Kuala Lumpur 2024: Gabungan Budaya, Permainan Tradisi, dan Semangat Hari Malaysia

    Festival Permainan Malaysia @ Kuala Lumpur 2024 (FPM@KL 2024) akan berlangsung pada 14, 15 dan 16 September 2024 di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur, melibatkan penyertaan 2,378 peserta dari kalangan badan beruniform, sektor korporat, dan institusi pengajian tinggi.

    Acara tahunan ini, yang termasuk dalam Kalendar Pelancongan Budaya, Festival Permainan dianjurkan untuk mempromosikan seni budaya negeri dan menampilkan permainan tradisional sebagai fokus utama.

    FPM@KL 2024 dianjurkan oleh Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JKKN) bersama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Persatuan Sukan Tradisional Malaysia.Festival Permainan bertujuan mempromosikan permainan tradisional Malaysia, dengan sokongan aktiviti lain yang menarik minat masyarakat.

    Festival Permainan, yang kini memasuki tahun ke-9, merangkumi pelbagai aktiviti seperti pertandingan permainan tradisional, permainan interaktif, pameran, demonstrasi, persembahan seni budaya, citarasa warisan, serta jualan. Pertandingan permainan tradisional, dikendalikan oleh Persatuan Sukan Tradisional Malaysia, akan melibatkan 910 peserta badan beruniform, 1,001 peserta sektor korporat, dan 728 peserta institusi pengajian tinggi. Permainan yang dipertandingkan termasuk tarik tali tradisional, galah panjang, tuju tin, batu seremban, sepak raga ratus, bola sepak kain sarung, kelereng, terompah gergasi, menyumpit, dan memanah tradisional.

    Dalam kategori badan beruniform, 10 pasukan termasuk johan keseluruhan 2023, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, akan bertanding. Pasukan lain termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Sukarelawan Rakyat Malaysia, Jabatan Imigresen Malaysia, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Agensi Anti Dadah Kebangsaan, Majlis Sukan Angkatan Tentera, Perbadanan Putrajaya, dan Angkatan Pertahanan Awam.

    Sementara itu, 11 pasukan korporat akan bersaing, antaranya Malaysia Airports Berhad, RHB Bank, Bank Negara Malaysia, dan Tenaga Nasional Berhad. FPM@KL 2024 juga memperkenalkan kategori baharu bagi Institusi Pengajian Tinggi (IPT) dengan penyertaan dari lapan universiti seperti Universiti Malaya, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, dan Universiti Putra Malaysia.

    Selain pertandingan antara badan beruniform dan sektor korporat, acara lain yang memeriahkan FPM@KL 2024 termasuk Permainan Legenda Rakyat, memanah tradisional interaktif, menyumpit, pertandingan lastik, serta demonstrasi permainan tradisi masyarakat Sabah, Sarawak, dan Orang Asal.

    Festival Permainan ini turut menjadi tuan rumah Kejohanan Tarik Tali Kelab-Kelab Antarabangsa, yang melibatkan kelab dari Brunei, Taiwan, Singapura, dan 60 kelab tempatan. Selain itu, Kejohanan Gasing Pangkah, Pertandingan Kabaddi Terbuka Malaysia, Kejohanan Seni Silat Kreatif, serta Pesta Citarasa Sambal turut diadakan. Acara lain termasuk persembahan Diabolo Kuala Lumpur, senam joget P. Ramlee, dan Larian Nusantara.

    FPM@KL 2024 memperkenalkan beberapa acara baharu seperti Pertandingan Tarian Singa Interaktif, Jom Solat Subuh Macam Jumaat, dan Pertandingan Catur Cina. Sepanjang acara, 30 trak makanan akan menyediakan pelbagai hidangan dari jam 9.00 pagi hingga 11.00 malam di Jalan Raja.

    Acara besar lain yang turut menyokong sambutan Hari Malaysia termasuk Festival Gendang dan Tari Antarabangsa (GENTA) pada 14 September dan Kuala Lumpur Cinta Rasul pada 15 September. GENTA melibatkan persembahan dari 10 pihak berkuasa tempatan serta kumpulan dari Indonesia, Thailand, Singapura, dan Filipina. Program Maulidur Rasul Kuala Lumpur Cinta Rasul turut berlangsung di pentas utama.

    Senam Seni 2.0, satu modul baharu hasil inisiatif Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, juga akan diperkenalkan. Ia menggabungkan 70% gerakan kecergasan dan 30% gerakan seni, serta akan dipromosikan secara meluas melalui kerjasama dengan institusi pengajian tinggi dan pusat kecergasan.

    FPM@KL 2024 turut disokong oleh lebih 40 rakan kerjasama dan 23 penaja, termasuk Ajinomoto Malaysia, Redbull, Olive House, CelcomDigi, dan Farm Fresh. Majlis perasmian acara ini akan diadakan pada 15 September 2024 jam 8.30 pagi dan dirasmikan oleh YB Dato’ Sri Tiong King Sing serta YB Dr. Zaliha Mustafa.

    Orang ramai dijemput hadir memeriahkan Festival Permainan dan maklumat lanjut boleh diperoleh di laman sesawang JKKN di www.jkkn.gov.my atau melalui Facebook di www.facebook.com/mysenibudaya.

  • “JKKN WPKL” membuat inisiatif demi mempertingkatkan kesedaran, pengetahuan masyarakat terhadap kepentingan seni budaya .

    “JKKN WPKL” membuat inisiatif demi mempertingkatkan kesedaran, pengetahuan masyarakat terhadap kepentingan seni budaya .

     

     Inisiatif yang dilakukan Jabatan Kebudayaan dab Kesenian Negara Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur .

    Sepanjang tahun 2024, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JKKN WPKL) telah dan akan menganjurkan pelbagai program untuk meningkatkan kesedaran dan pengetahuan masyarakat tentang kepentingan seni budaya, memupuk perpaduan, dan membangunkan modal insan yang mengamalkan nilai-nilai murni:

    1. Festival Permainan Malaysia @ Kuala Lumpur (FPM@KL) 2024, program utama JKKN WPKL di bawah Program Pelancongan Budaya, akan berlangsung pada 13-16 September 2024 di Dataran Merdeka. Memasuki edisi ke-9, festival ini akan menampilkan keunikan permainan tradisional Malaysia dan pelbagai acara lain seperti Kejohanan Tarik Tali Kelab-Kelab Dunia, kejohanan Kabaddi, tarian singa, persembahan pentas, Nusantara Fun Run, Obstacle Extreme Challenge, Kejohanan Gasing Malaysia, sukan lastik, memanah dan menyumpit tradisional, bacaan puisi, serta jualan dan pameran.
    2. Festival Tari Malaysia 2024 Zon Tengah merupakan platform untuk mengenal pasti kumpulan tarian dari WP Kuala Lumpur dan Selangor yang akan bertanding di peringkat kebangsaan pada Festival Tari Malaysia 2025.
    3. Bintang Asli Remaja 2024 adalah pertandingan nyanyian lagu Melayu Asli di peringkat negeri untuk mencari wakil yang akan bertanding di peringkat kebangsaan pada Oktober 2024.
    4. Colours of Malaysia (COM), yang telah dilaksanakan pada 25 Mei 2024 di KLCC, bertujuan untuk memperkenalkan kumpulan kesenian dan tarian tradisi Malaysia kepada pelancong.
    5. Bengkel Pemasaran dan Penajaan Seni Budaya 2024, yang diadakan pada 26 Mac 2024 di Stor Teater, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Kuala Lumpur, bertujuan untuk meningkatkan pengetahuan NGO Seni Budaya dalam mempromosikan program dan mendapatkan penajaan.
    6. Program Bimbingan Hujung Minggu 2024 adalah program perkongsian ilmu berkaitan seni budaya tradisional dan moden yang diadakan setiap hujung minggu.
    7. Program Pusat Bimbingan Seni Budaya (PuBSB), yang dilaksanakan sejak 2015, menawarkan bimbingan seni budaya dalam bidang tari di penjara, sekolah pemulihan, dan komuniti Orang Asli.
    8. Kelab Tunas Budaya (KTB) dan Kelab Giat Budaya (KGB) merupakan program pengajaran dan pembelajaran modul seni tari, muzik, teater, silat, gasing, dan seni berbahasa di sekolah rendah dan menengah.
    9. Kumpulan Satelit Seni Budaya adalah program latihan untuk golongan muda mempelajari seni tari tradisi Malaysia.
    10. Budi@Seni: Inspirasi Generasi (I-GEN) adalah program perkongsian ilmu tentang nilai-nilai murni, budi bahasa, budaya tinggi, pembentukan jati diri, dan semangat patriotisme.
    11. Insentif Seni JKKN menawarkan bantuan dan perkhidmatan kepada NGO seni budaya dan penggiat seni dalam bentuk Insentif Seni Kewangan, Insentif Seni Ruang, Insentif Seni Kepakaran, dan Insentif Seni Promosi.
    12. Hub Maklumat Seni Budaya JKKN menyediakan Pusat Sumber Seni Budaya (PSSB) JKKN dan maklumat seni budaya digital seperti Portal Pemetaan Budaya dan Rumah Seni.
    13. Perantisan Seni 2024 adalah program latihan untuk penggiat seni dalam bidang seni opera Cina (nyanyian).

    JKKN WPKL juga sentiasa bekerjasama dengan pelbagai pihak dalam penganjuran program dan berharap semua program ini dapat memberikan impak positif kepada masyarakat dalam usaha memartabatkan seni budaya Malaysia.

    Untuk maklumat lanjut, sila layari media sosial rasmi JKKN WPKL:

    • Facebook: Jkkn WP Kuala Lumpur dan JKKN WPKL
    • Instagram: jkkn_wpkualalumpur
    • TikTok: jkknwpkl