Naqiu dan Joey Terpaksa Akur Jatuh ke Tangga Kedua Terakhir Famili Duo 4

Naqiu Joey

Minggu ketiga program Famili Duo 4 menyaksikan persaingan yang semakin sengit apabila pasangan Naqiu dan Joey, walaupun berusaha keras dengan persembahan medley yang bertenaga, terpaksa menerima hakikat jatuh ke tangga kedua terakhir.

Mereka membawakan lagu Angguk-Angguk, Geleng-Geleng oleh Ahli Fiqir dan Amboi oleh Altimet, namun kekuatan persembahan duo lain lebih mendominasi pentas pada malam itu. Walaupun mendapat pujian atas peningkatan mereka yang konsisten, Datuk Rosyam Nor mengingatkan mereka untuk terus meningkatkan usaha dalam menghadapi cabaran minggu-minggu yang semakin sukar.

Mas Idayu turut memberikan pandangan positif mengenai vokal Joey dan Naqiu, yang dianggap mampu memikat hati penonton. Namun, beliau turut menegaskan bahawa tenaga persembahan mereka masih belum cukup untuk bersaing dengan peserta lain yang semakin mantap. Dengan markah 6 daripada kedua-dua juri, jelas menunjukkan bahawa mereka mempunyai potensi besar yang belum diterokai sepenuhnya. Datuk Rosyam Nor juga memberikan pujian terhadap kreativiti mereka, terutamanya dengan konsep mahkamah yang dipilih dalam persembahan, tetapi menyarankan agar mereka menggandakan usaha agar lebih menyerlah pada minggu-minggu mendatang.

Walaupun terjatuh ke kedudukan kelima, Joey kekal optimis dan memberi pandangannya tentang pengalaman beliau di pentas Famili Duo. “Setelah hampir 25 tahun tidak menyanyi, saya bangga dapat kembali dan merasai semangat baru. Program ini memberi saya peluang untuk kembali berdiri di pentas dan mencabar diri,” kata Joey dengan penuh semangat. Beliau menyatakan bahawa pada usia sekarang, dia masih mampu untuk rap dan berkaraoke, sambil merasakan setiap minggu yang berlalu sebagai kemajuan yang sangat memuaskan.

Naqiu, dalam pada itu, turut memberikan penghargaan kepada ketekunan Joey yang tidak pernah putus asa walaupun cabaran semakin besar. “Abang Joey tidak pernah berhenti berusaha, walaupun cabaran semakin besar setiap minggu. Itulah yang membuatkan saya terharu dan semakin kagum,” ujar Naqiu.

Di minggu ketiga, pasangan sepupu Tomok dan Sharul Kamal muncul sebagai juara dengan persembahan bertenaga mereka yang mendapat standing ovation daripada juri. Mereka membawakan lagu Da Bomb dari Ruffedge dan Pop Yeh Yeh dari VE yang digabungkan dengan elemen hip hop yang segar, memberi sentuhan moden pada lagu-lagu lama. Persembahan mereka turut mendapat pujian daripada Datuk Rosyam Nor, yang menganggap interaksi mereka dengan penonton sangat memikat dan seolah-olah menyaksikan malam final. Dengan markah sempurna 10 daripada kedua-dua juri, Tomok dan Sharul Kamal berjaya meraih kemenangan serta hadiah wang tunai RM10,000.

Pasangan sepupu lain, Ayie Elham dan Salma Asis juga tidak ketinggalan dalam menarik perhatian penonton dan juri dengan persembahan mashup mereka yang sangat unik. Mereka menggabungkan lagu Niskala Suaka oleh K.O.I dan Sedih Hati oleh Malique, dan hasilnya benar-benar memukau. Konsep mereka yang mendalam dan penuh emosi memberikan penceritaan yang simbolik, memikat hati penonton. Mas Idayu memberikan markah sempurna 10 dan memuji keberanian serta kreativiti mereka, manakala Datuk Rosyam Nor juga memuji kekuatan konsep yang membawa perasaan mendalam lebih daripada sekadar hiburan.

Di akhir minggu ketiga, berikut adalah kedudukan keseluruhan pasangan duo yang masih bertahan di pentas Famili Duo:

  1. Tomok & Sharul Kamal – 71.23%
  2. Ayie Elham & Salma Asis – 69.56%
  3. Shiha Zikir & Ieda Zikir – 55.3%
  4. Didi Astillah & Thamiera – 51.34%
  5. Naqiu & Joey – 47.94%
  6. Zahid & Anne – 43.54%

Persaingan dalam program Famili Duo semakin hebat, dengan setiap pasangan keluarga memberikan yang terbaik untuk kekal dalam pertandingan. Minggu hadapan, tema Idola/Legenda akan membawa banyak kejutan kepada penonton, dan tidak sabar melihat bagaimana setiap pasangan bersedia menghadapi cabaran seterusnya.

Seperti yang diumumkan, Famili Duo akan berehat minggu ini bagi memberi ruang kepada program TikTok Shop 11.11 Mega Live Stream, yang akan disiarkan secara langsung di Stadium Malawati pada 10 November 2024. Program ini bakal menampilkan aktiviti beli-belah, cabaran bersama peminat, serta kandungan yang dikendalikan oleh pencipta. Saksikan siaran langsung ini melalui TikTok Malaysia atau TV3 pada pukul 9.00 malam!

Untuk maklumat lanjut mengenai perkembangan terkini Famili Duo dan program-program TV3, pastikan anda mengikuti laman media sosial rasmi mereka di Facebook, Instagram, Twitter @TV3Malaysia, dan TikTok @TV3MalaysiaOfficial. Jangan lupa, beri sokongan dan undian kepada duo kegemaran anda!