Nabila Huda Kembali Gegarkan Skrin: Watak Paling Kejam Dalam Kisah Ibu Yang Kejam!

Sebuah Naskhah Sarat Emosi, ‘Dari Rahim Yang Sama’ Tampil Menyentuh Jiwa di Slot Samarinda

Sebuah kisah dramatik penuh emosi berjudul ‘Dari Rahim Yang Sama’ bakal menemui penonton bermula esok, 14 April 2025, setiap Isnin hingga Khamis, jam 10.00 malam menerusi slot Samarinda. Drama ini membawa penonton menyelami kisah kehidupan penuh ranjau yang dihadapi oleh golongan marhaen, mengangkat tema pengorbanan, identiti dan harapan dalam menghadapi realiti yang getir.

Di bawah arahan Amor Rizan dan skrip hasil garapan Naza Manas, naskhah terbitan Anomali Media ini menjanjikan impak emosi yang kuat. Barisan pelakon hebat seperti Nabila Huda, Mhia Firdaus, Rykarl Iskandar, Rafique Iskandar, Angeline Tan dan Kahoe Hon menghidupkan watak-watak dengan penuh penghayatan, menjadikan drama ini sesuatu yang wajib ditonton.

Dari Rahim Yang Sama mengisahkan tentang Balqis (lakonan Mhia Firdaus), seorang remaja perempuan yang membesarkan dua adik lelakinya, Aqil (Rykarl Iskandar) dan Afiq (Rafique Iskandar), di tengah-tengah kota Kuala Lumpur. Mereka bertiga merupakan adik-beradik seibu berlainan bapa, dan lebih menyayat hati, mereka tidak pernah didaftarkan kelahirannya secara sah.

Ketiadaan dokumen rasmi menyebabkan mereka dinafikan hak pendidikan dan kehidupan normal. Suraya (Nabila Huda), ibu mereka, merupakan seorang ibu tunggal yang bekerja sebagai GRO dan mengabaikan tanggungjawabnya sebagai ibu. Balqis terpaksa memikul tanggungjawab keluarga dalam usia muda—memasak, menjaga adik-adik dan mengurus rumah tangga, sementara ibunya terus hanyut dalam dunia sendiri.

Namun, perjuangan Balqis untuk mendapatkan pengiktirafan sah taraf mereka bukan sesuatu yang mudah. Ketegangan memuncak apabila Suraya mengakui bahawa dia sengaja tidak mendaftarkan anak-anaknya kerana takut kehilangan mereka. Dalam kepedihan itu, Balqis tetap teguh mencari cahaya di hujung lorong gelap kehidupannya.

Drama ini tidak sekadar mengisahkan perjuangan seorang gadis, malah turut mengetengahkan isu sosial seperti kecuaian ibu bapa dan anak-anak tanpa dokumen sah topik yang jarang diperdebatkan secara terbuka. Dari Rahim Yang Sama menjadi suara buat golongan yang tidak pernah didengar, menjentik hati dan membuka mata masyarakat tentang sisi gelap realiti yang wujud di sekeliling kita.

Jangan ketinggalan untuk menyaksikan tayangan penuh emosi ini bermula esok, hanya di slot Samarinda, setiap Isnin hingga Khamis, jam 10.00 malam di TV3. Penonton juga berpeluang menonton episod lebih awal, 24 jam lebih awal secara eksklusif di Tonton.

Untuk perkembangan terkini drama ini dan siri TV3 yang lain, ikuti laman sosial rasmi TV3 di Facebook, Twitter, YouTube dan Instagram menerusi @TV3Malaysia, serta Instagram rasmi Drama Sangat di @dramasangat.