Filem seram-thriller Taiwan berjudul MUDBORN arahan pengarah terkenal Shieh Meng-Ju telah mencipta fenomena luar biasa sejak ditayangkan di seluruh Malaysia bermula 27 November lalu. Dalam tempoh singkat, filem ini berjaya mencatat kutipan tinggi, sekaligus memecahkan rekod bagi filem seram berbahasa Mandarin di negara ini pada tahun 2025. Pencapaian ini mengukuhkan kedudukan MUDBORN sebagai salah satu filem seram Cina paling laris tahun ini, membuktikan genre seram masih memiliki pengaruh kuat di kalangan penonton Malaysia.
MUDBORN diinspirasikan daripada lagu kanak-kanak terkenal “Ni Wa Wa, Ni Wa Wa, Yi Ge Ni Wa Wa” atau Anak Patung Tanah Liat. Walaupun kedengaran riang, liriknya menyimpan sisi gelap yang semakin menyeramkan apabila didengar semula ketika dewasa. Antara bait yang sering disebut ialah, “Matanya tidak berkelip, mulutnya tidak berkata, dia bukan anak patung sebenar.” Filem ini mengisahkan seorang pereka permainan VR bernama Hsu-Chuan, yang membawa pulang sebuah anak patung tanah liat yang sudah pecah ditemuinya di rumah tinggal berhantu. Isterinya, Muhua, seorang konservator artifak yang sedang hamil, menjadi semakin obses memulihkan patung tersebut tanpa menyedari bahawa setiap sentuhan membangkitkan misteri yang lebih menyeramkan.

Sejak patung itu memasuki rumah, pasangan tersebut mula diganggu oleh kejadian aneh yang semakin sukar dijelaskan, dari bisikan halus hingga perubahan tingkah laku Muhua. Ketenangan rumah tangga mereka turut terjejas, membuatkan penonton turut merasai tekanan dan ketakutan yang menyelubungi. Dalam keadaan semakin terdesak, Hsu-Chuan mendapatkan bantuan seorang bomoh dan psikik bernama Ah-Sheng yang akhirnya mendedahkan sejarah sumpahan tanah liat tersebut. Tragedi silam dan dendam tidak berkesudahan menjadi rahsia yang menambah intensiti jalan cerita MUDBORN.
Filem ini menampilkan pelakon berbakat termasuk Yang Yo-Ning, pemenang Anugerah Golden Horse, serta bintang Hong Kong Cecilia Choi, Derek Chang, Puff Kuo dan Joanne Tseng. MUDBORN menggabungkan elemen VR, mistik tradisional, sumpahan purba dan gangguan supernatural dalam satu naskhah yang segar. Gabungan dunia moden dan kepercayaan lama menjadikan filem ini memiliki tekstur seram yang unik, bukan sekadar mengejutkan tetapi juga membuat penonton terus berfikir.

Sebagai filem Taiwan, MUDBORN membawa citarasa budaya Asia Timur yang jarang dilihat dalam filem arus perdana. Reka bentuk visual, kesan bunyi yang mendebarkan serta sinematografi terperinci menjadikan pengalaman menonton lebih memuaskan. Dengan kutipan box office yang tertinggi, MUDBORN membuktikan bahawa filem seram Mandarin mampu menyaingi populariti filem tempatan termasuk kejayaan filem Malaysia seperti Malam Terlarang yang turut mencatat rekod membanggakan sebelum ini.
MUDBORN bukan sahaja menawarkan elemen seram, tetapi juga pengalaman mendalam yang menggambarkan obsesi, fragiliti hubungan manusia dan ketakutan terhadap perkara yang tidak dapat dilihat. Filem ini kini ditayangkan di seluruh pawagam Malaysia, menawarkan pengalaman seram yang mengusik jiwa dan meninggalkan bayangan ngeri yang sukar dilupakan.