Goh (empat dari kiri) menyerahkan cek kepada Rosnah (lima dari kiri) dan Dr. Nazirah (enam dari kiri) pada acara Larian PPUMCare yang diadakan di Arena UM, Universiti Malaya pada 28 Ogos lepas.
PERUNCIT perkakas rumah terbesar di Malaysia, Kumpulan MR D.I.Y. (M) Berhad (MR D.I.Y.) menyumbang RM300,000 kepada PPUMCare sempena acara Larian PPUMCare yang diadakan di Arena UM, Universiti Malaya pada 28 Ogos lepas.
Larian tersebut dianjurkan oleh Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk meraih dana yang akan digunakan bagi membiayai kos rawatan untuk pesakit-pesakit yang memerlukan.
Ketua Pemasaran Kumpulannya, Alex Goh berkata, sumbangan kepada PPUMcare ini bertujuan membantu dan memastikan mereka yang memerlukan dapat mengakses rawatan perubatan yang berkualiti tanpa perlu bimbang tentang kos rawatan dan ubat-ubatan.
“Kami berharap sumbangan dan acara ini dapat memberi inspirasi kepada syarikat korporat lain untuk menyokong usaha murni PPUM dan PPUMcare,” katanya dalam satu kenyataan.
Pada Ahad, acara larian itu telah dihadiri oleh Pengerusi Lembaga Pengurusan PPUM, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin dan dilancarkan oleh Pengarah PPUM, Profesor Dr. Nazirah Hasnan.
Beliau berkata, larian PPUMCare 2022 berjaya meraih RM 377,000 daripada penyumbang dermawan.
“Selain Kumpulan MR D.I.Y., penyumbang lain termasuklah DatumCorp International Sdn. Bhd., Azlin Jamlus Architect, MED-EL Electronics Sdn. Bhd., Siemens Healthineers Malaysia dan Aeon. Co (M) Bhd,” katanya.
Goh berkata, MR D.I.Y. telah lama menjalankan kerjasama dengan Universiti Malaya dalam beberapa aspek.
Pada November 2021, MR D.I.Y telah menyumbang RM3.6 juta dalam bentuk bantuan wang tunai dan kit ujian Covid-19 percuma kepada lebih 12,000 pelajar universiti untuk membantu meringankan beban mereka kembali ke kampus selepas pandemik.
MR D.I.Y bekerjasama dengan PPUM untuk membina sebuah bilik pelbagai guna yang dikenali sebagai The ZONE untuk tujuan pendidikan, dan menyumbang mesin monitor-monitor tanda vital dan peralatan perlindungan diri kepada hospital tersebut untuk membantu para petugas barisan menguruskan keperluan semasa pandemik.