“Mengukir Takdir”: The Helmis Bawa Misi Kemanusiaan ke Gaza Melalui Global Sumud Flotilla

Nama pasangan adik-beradik, Heliza Helmi dan Hazwani Helmi, sememangnya tidak asing lagi dalam industri muzik tanah air. Terbaharu, mereka kembali dengan single berjudul Mengukir Takdir, hasil ciptaan komposer prolifik Wan Saleh bersama Hazwani Helmi sendiri. Lagu ini turut menampilkan sentuhan susunan muzik dan terbitan penuh oleh Wan Saleh di bawah kerjasama Alternate Records & Talents.

Mengukir Takdir membawa mesej ketabahan, kekuatan dan kebergantungan kepada Allah SWT dalam menghadapi ujian hidup. Inspirasi lagu ini lahir bukan sahaja daripada semangat perjuangan saudara di Gaza, tetapi juga sebagai peringatan bahawa setiap insan adalah pejuang dalam kisah hidup masing-masing.

Menurut Heliza dan Hazwani, peluang menyanyikan lagu ini merupakan satu penghargaan besar buat mereka. Mereka bersyukur kerana sejak awal perbincangan bersama pasukan Alternate Records & Talents, wujud keserasian yang akhirnya membawa kepada cadangan untuk bekerjasama dengan Wan Saleh. Komposer itu pernah berkolaborasi dengan mereka sebelum ini, menjadikannya lebih memahami gaya nyanyian duo tersebut. Dari situlah lahirnya Mengukir Takdir, sebuah karya yang mencabar namun sarat dengan makna mendalam.

Proses rakaman lagu ini mengambil masa yang agak intensif. Rakaman demo memakan masa sekitar lima jam, begitu juga dengan rakaman akhir. Menurut mereka, cabaran utama adalah kerana Mengukir Takdir merupakan sebuah lagu yang besar dan memerlukan teknik vokal tinggi, lapisan suara pelbagai termasuk koir serta elemen Arab. Namun dengan bimbingan guru vokal dan tunjuk ajar Wan Saleh, mereka berjaya merealisasikan apa yang dirancang dengan baik.

Kelainan utama lagu ini terletak pada gabungan genre dan kekuatan emosi yang disampaikan. Pertukaran vokal antara Heliza dan Hazwani bersama elemen koir serta sentuhan Arab menjadikan Mengukir Takdir satu eksperimen muzik yang segar dan unik. Walaupun ilham asalnya tentang Gaza, lirik lagu ini sebenarnya bersifat universal dan boleh dihayati dalam pelbagai konteks – sama ada perjuangan Rasulullah SAW, kisah keluarga, cabaran hidup atau ujian yang dihadapi wanita di luar sana. Apa pun tafsirannya, mereka berharap lagu ini dapat menyentuh hati pendengar dengan izin Allah.

Mengukir Takdir turut menandakan single pertama hasil kerjasama Heliza dan Hazwani Helmi bersama Alternate Records & Talents. Mereka optimis akan ada lebih banyak karya bersama pada masa akan datang. Bagi mereka, lagu ini bukan sekadar karya muzik tetapi juga sebuah doa dan penguat semangat untuk semua pendengar.

“Setiap kita adalah pejuang. Walau apa pun cabaran hidup, Allah telah menjanjikan bahawa setiap kesulitan hadir bersama kemudahan, seperti dalam Surah Al-Insyirah ayat 5-6. Lagu ini kami tujukan sebagai penguat semangat untuk semua,” kata mereka menutup bicara.

Mengukir Takdir nyanyian Heliza Helmi & Hazwani Helmi kini boleh didapati di semua platform penstriman digital seperti Spotify, Apple Music dan YouTube Music. Untuk maklumat terkini mengenai Alternate Records & Talents, ikuti laman rasmi di Facebook, @alternate.my_ di Instagram, dan @alternate.rt_ di TikTok.