MEGASTAR IDOL 2025 – Jejak Juara Membentuk Bintang Baharu

GAGA Entertainment bakal menganjurkan pertandingan nyanyian Megastar Idol 2025 yang dijadualkan berlangsung dari 26 hingga 28 September 2025 di Subang Parade, Subang Jaya, Selangor. Acara ini direalisasikan dengan sokongan Subang Parade sebagai rakan rasmi lokasi, menandakan komitmen bersama untuk mengangkat bakat vokal tempatan. Dikenali sebagai penganjur acara hiburan berkualiti, GAGA Entertainment memberi tumpuan kepada pencarian dan pembangunan artis baharu melalui pertandingan, persembahan pentas serta kerjasama strategik bersama pemain industri. Tahun ini, tema “Dari Juara Untuk Bakal Juara” dipilih bagi menonjolkan matlamat acara sebagai wadah profesional yang membantu peserta mengasah potensi serta menimba ilmu secara langsung daripada pakar muzik.

Barisan juri yang akan mengadili pertandingan ini terdiri daripada figura terkenal dunia hiburan tanah air, termasuk Idayu AF Megastar selaku penyanyi dan jurulatih vokal, Helen Yap yang berpengalaman luas sebagai komposer, penerbit dan pengarah muzik, serta seorang juri jemputan khas yang hanya akan diperkenalkan pada hari pertandingan. Panel ini akan memberi penilaian terperinci, nasihat teknikal, dan komen membina agar para peserta dapat meningkatkan mutu persembahan.

Pemenang Megastar Idol 2025 bakal membawa pulang hadiah wang tunai keseluruhan RM3,500 beserta pengiktirafan rasmi. Juara akan menerima RM2,000 berserta trofi dan sijil, naib juara memperoleh RM1,000 dan sijil, manakala tempat ketiga akan membawa pulang RM500 dan sijil. Semua peserta yang mengambil bahagian akan menerima sijil penyertaan sebagai penghargaan.

Pertandingan ini dibuka kepada semua warganegara Malaysia berumur 13 tahun ke atas. Yuran penyertaan ditetapkan pada kadar RM100 dengan bilangan penyertaan dihadkan kepada 50 orang sahaja bagi memastikan kualiti acara dapat dikekalkan. Pertandingan akan berlangsung dalam tiga peringkat iaitu pusingan saringan, separuh akhir dan pentas akhir yang semuanya diadakan di pentas utama Subang Parade.

Bagi mereka yang berminat, pendaftaran boleh dibuat dengan menghubungi NADZ di talian 018 9676548 atau melalui Instagram rasmi @gaga.entertainment.