MELIHAT kepada permintaan pelanggan terhadap rangkaian produknya yang semakin memberangsangkan, pengeluar rangkaian produk berjenama OCOC, Brain Story Sdn Bhd (Brain Story), meneruskan usaha memberi pilihan kepada orang ramai untuk menikmati makanan segera secara lebih sihat dan baik untuk kesihatan.
Pengarah Eksekutifnya, Dr Rizal Abu Bakar berkata, Mee Kari Nyonya (MKN) yang merupakan rangkaian produk jenama OCOC ke-21 merupakan produk makanan segera yang sesuai untuk semua lapisan umur termasuk penghidap diabetes.
“MKN merupakan mi segera yang sihat kerana menggunakan tepung atta yang diketahui mempunyai fiber dan protein tinggi.
“Perbezaan antara MKN dan mi segera yang sedia ada di pasaran adalah MKN tidak mengandungi monosodium glutamate (MSG), namun menggunakan perasa tambahan yang direka khusus menggunakan bahan asli.
“Dengan adanya formulasi tersebut, maka kami gabungkan perencah kari dan santan untuk mendapatkan rasa pedas, lemak dan kenyal sekali gus ‘kena’ dengan selera rakyat Malaysia,” katanya ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Mee Kari Nyonya dan Rumah Terbuka OCOC di UKM-MTDC, Bangi pada Rabu lepas.
Mengulas lanjut Rizal berkata, penggunaan tepung atta dalam pembuatan MKN merupakan alternatif terbaik kepada mereka yang mengambil berat soal kesihatan kerana nilai glisemik yang rendah selain mampu memberikan rasa kenyang lebih lama.
Justeru katanya, MKN merupakan pilihan terbaik dan lebih sihat kepada mereka yang menghidap diabetis berbanding mi segera sedia ada di pasaran.
“Sesuai dengan tagline kami iaitu We Bring The Best Of Nature to You, produk ini hanya bergantung kepada bahan asli dan tumbuh-tumbuhan dalam memberi rasa autentik yang sihat, sedap dan mudah dimasak.
“Selain tekstur mi yang lebih tebal, kandungan protein yang ada dalam MKN juga dapat membantu proses membakar tenaga dalam badan,” katanya.
Sasar 90,000 pek
Sementara itu menyentuh mengenai harapannya terhadap produk tersebut, Rizal berkata, pihaknya menyasarkan jualan sehingga 90,000 pek MKN setiap bulan selain dipasarkan ke luar negara.
Katanya, setakat ini MKN telah mendapat permintaan dari pasaran Kanada ekoran penyertaan Brain Story di Festival Makanan Halal 2022 di negara itu, baru-baru ini.
Gimik pelancaran oleh Dr Rizal (tengah) pada Majlis Pelancaran Mee Kari Nyonya dan Rumah Terbuka OCOC di UKM-MTDC, Bangi pada Rabu. – Foto Sinar Harian ABDUL HALIM WAHID
“Kami telah bertemu dan mengadakan perbincangan dengan beberapa pengeluar yang mahukan mi segera ini dipasarkan di negara mereka menggunakan label sendiri. Ia akan dijual di pasar raya terpilih di negara itu.
“Kita juga mendapat permintaan pasaran di New York, Amerika Syarikat untuk keluarkan MKN dengan menambah daging dalam bungkusan dan akan repack di sana menggunakan label OCOC,” katanya.
Dalam pada itu Rizal memaklumkan, orang ramai boleh mendapatkan MKN menerusi ejen OCOC yang berdaftar di seluruh negara atau tempahan menerusi platform e-dagang di laman sesawang www.ococ.my pada harga RM18.50 setiap bungkusan yang mengandungi tiga pek mi segera.
Mee Kari Nyonya (MKN):
* Kaya dengan nutrisi terutama protein dan serat.
* Bebas bahan pengawet, pewarna dan perasa tiruan.
* Menggunakan tepung atta yang rendah nilai glisemik.
* Tinggi kandungan serat yang bantu kenyang lebih lama.
* Tekstur lebih tebal 0.3 hingga 0.4 milimeter (mm) daripada mi segera lain.
* 100 peratus cili tanpa bahan campuran lain seperti tepung.
* Menggunakan minyak sawit merah, mengekalkan rasa umami dalam MKN.
* Perencah kari yang diimport khas dari India.
Demonstrasi cara memasak MKN oleh cef jemputan, Ramzul Nasri Azma Ismail atau cef Joe. – Foto Sinar Harian ABDUL HALIM WAHID
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang