McDonald’s Malaysia Terus Menghargai Warga Pendidik, Sambutan Hari Guru Mekdi Kini Masuk Tahun Kesembilan

McDonald’s Malaysia meneruskan tradisi mengiktiraf jasa pendidik tanah air menerusi penganjuran Sambutan Hari Guru Mekdi yang berlangsung sepanjang bulan Mei. Program komuniti yang sudah memasuki tahun kesembilan ini menzahirkan penghargaan kepada para guru melalui pelbagai inisiatif di seluruh negara.

Menerusi sambutan kali ini, hampir 15,000 guru dari lebih 300 buah sekolah telah diraikan oleh restoran-restoran McDonald’s di seluruh Malaysia. Majlis penghargaan telah dianjurkan sama ada di restoran McDonald’s atau di perkarangan sekolah, lengkap dengan aktiviti menarik dan hidangan istimewa McDonald’s yang disediakan khas buat para pendidik.

Kemuncak sambutan ini telah berlangsung di McDonald’s Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur, yang menyaksikan kehadiran guru-guru dari Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Baru Sentul dan Sekolah Kebangsaan Taman Keramat (1) dalam sebuah acara penuh meriah dan bermakna.

“Sebagai jenama yang dekat di hati rakyat Malaysia, McDonald’s sentiasa komited untuk mendekati komuniti setempat. Namun, sambutan Hari Guru mempunyai tempat yang istimewa dalam hati kami. Keceriaan para guru yang diraikan inilah yang menjadi motivasi kami untuk meneruskan inisiatif ini setiap tahun. Kami percaya, menghargai guru adalah salah satu cara untuk menyuntik semangat mereka dalam mendidik generasi akan datang. Terima kasih, cikgu!” ujar Dato’ Haji Azmir Jaafar, Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan, McDonald’s Malaysia.

Sebagai tanda penghargaan yang lebih bermakna, McDonald’s Malaysia turut menyumbangkan RM5,000 kepada 10 sekolah terpilih, khusus untuk tujuan menaik taraf bilik guru, menjadikan jumlah keseluruhan sumbangan sebanyak RM50,000.

Sejak mula diperkenalkan pada tahun 2017, Sambutan Hari Guru Mekdi telah menjadi antara program ikonik McDonald’s. Antara inisiatif terdahulu termasuk pengedaran 500,000 baucar makanan percuma kepada guru-guru di seluruh negara pada tahun 2019 dan 2022. Tahun demi tahun, sambutan ini mencerminkan dedikasi berterusan McDonald’s dalam mengangkat peranan para pendidik di Malaysia.

Program ini adalah sebahagian daripada inisiatif Komuniti @ McDonald’s, yang menyaksikan lebih 10,000 aktiviti kemasyarakatan dianjurkan setiap tahun melalui jaringan lebih 370 restoran McDonald’s di seluruh negara, melibatkan pelbagai lapisan masyarakat.

Sambutan Hari Guru Mekdi 2025 sekali lagi membuktikan komitmen McDonald’s Malaysia dalam menceriakan, menyantuni dan memberi impak positif kepada komuniti menerusi penghargaan ikhlas kepada barisan pendidik negara.