MARSHA MILAN MENJADI BINTANG INTERNASIONAL!


Marsha Milan teruja Dilantik Sebagai Duta Spotify EQUAL Asia dan Akan Tampil di ASEAN-Korea Music Festival!

Selepas meraih kemenangan gemilang di AJL ke-39, Marsha Milan terus melangkah ke puncak kejayaan dengan pencapaian luar biasa di pentas antarabangsa! Yang terbaru, Marsha mencuri perhatian dunia apabila wajahnya menghiasi billboard ikonik di Times Square, New York pada 18 April 2025, sebagai duta EQUAL Asia oleh Spotify untuk bulan April 2025.

Kejayaan ini menempatkan Marsha di barisan hadapan playlist EQUAL Singapore & Malaysia, yang menampilkan dua lagu hit beliau, Hening Rindu dan Tangisan Seorang Pendosa. Untuk pengetahuan, program Duta EQUAL adalah inisiatif global oleh Spotify yang bertujuan untuk mempromosikan kesamarataan gender dalam industri muzik, dengan memberi fokus kepada pencapaian, bakat, dan suara wanita dari seluruh dunia.

Marsha, yang menerima berita gembira ini dengan penuh rasa teruja, berkata, “Saya sangat teruja! Ini merupakan pencapaian pertama saya, dan saya sangat bersyukur! Dulu saya fikir ini hanya mimpi, tapi alhamdulillah, kini impian saya menjadi kenyataan. Sejak kecil, saya impikan untuk berada di billboard, dan kini seorang gadis dari Sabah berjaya mencapainya.”

Berkongsi perasaan selepas penghargaan ini, Marsha menyatakan, “Saya tidak mempunyai strategi khas, namun saya percaya lagu yang berkualiti pasti akan dihargai. Harapan saya, pencapaian ini dapat memberi inspirasi kepada lebih ramai komposer berbakat untuk terus menghasilkan karya yang hebat.”

Bagi Marsha, yang telah hampir dua dekad berkecimpung dalam industri muzik, beliau percaya kunci untuk bertahan adalah keikhlasan, disiplin, dan semangat untuk terus belajar. “Industri muzik sentiasa berubah, jadi kita juga perlu sentiasa berkembang. Tetapi, kita tidak boleh hilang identiti. Yang paling penting adalah hubungan baik dengan team dan peminat. Dalam perjalanan ini, pasti ada liku-liku, tapi jika dilakukan dengan niat yang betul, insya-Allah peluang itu akan datang juga,” katanya.

Satu lagi berita gembira! Marsha Milan telah dipilih oleh KBS World Korea untuk tampil di Festival ROUND (ASEAN-Korea Music Festival) yang bakal berlangsung di Zepp KL pada 21 dan 22 Jun 2025! Dibawakan ke Kuala Lumpur dengan sokongan ASEAN-Korea Cooperation Fund, Marsha amat berbesar hati diberi peluang untuk menjadi sebahagian daripada festival berprestij ini, bersama dengan artis-artis terkemuka dari seluruh ASEAN.

Dengarkan sekarang playlist EQUAL Singapore & Malaysia dan nikmati vokal indah Marsha yang memikat. Jangan lupa untuk mengikuti perkembangan mengenai Festival ROUND untuk peluang menyaksikan Marsha beraksi secara langsung!

Untuk maklumat terkini tentang Alternate Records & Talents, layari akaun rasmi mereka di media sosial: Facebook, Instagram (@alternate.my_) dan TikTok (@alternate.rt_).