Anugerah Industri Muzik Ke-24 (AIM24), yang dikuasakan oleh Samsung Galaxy A56 dan A36 5G serta disokong Kementerian Komunikasi, kembali dengan penuh prestij apabila mengumumkan pasangan hos, barisan penyampai trofi serta senarai artis yang bakal memeriahkan malam kemuncak di Arena of Stars, Genting Highlands pada 13 September 2025.
Pasangan serasi, Sherry Al-Hadad dan Alif Satar, sekali lagi diberi mandat untuk mengemudikan acara berprestij ini. Malam penuh gemilang itu bakal dimeriahkan dengan persembahan hebat daripada barisan artis terkenal seperti Dato’ Sri Siti Nurhaliza, Ernie Zakri, Exists, Shila Amzah, Dolla, Ade Govinda, Anggi Marito, Masdo, Salammusik serta ramai lagi termasuk finalis kategori Artis Baru Terbaik.
Barisan penyampai trofi AIM24 juga turut menggabungkan artis tersohor tanah air dengan personaliti istimewa termasuk Dato’ Awie, Dato’ Nora Ariffin, Tomok, Siti Nordiana, Adira Suhaimi, Nikki Palikat, Daiyan Trisha dan ramai lagi.

Menurut Pengerusi RIM dan Jawatankuasa Penganjur AIM24, Encik Rosmin Hashim, pemilihan hos, artis persembahan dan penyampai trofi dibuat berdasarkan kemampuan mereka yang mewakili pelbagai segmen dalam industri muzik tanah air, sejajar dengan tema AIM24, “Kemuncak Segala-Galanya”.
Antara segmen yang dinanti ramai termasuk persembahan istimewa oleh Biduanita Negara, Dato’ Sri Siti Nurhaliza, serta gandingan sulung Dolla bersama artis hip-hop Thailand, Tobii. Tidak ketinggalan, kolaborasi Ernie Zakri bersama Ade Govinda dan Anggi Marito yang mencipta fenomena baharu di Indonesia.
Malam AIM24 kali ini turut menjanjikan keistimewaan buat pemenang 11 kategori utama apabila mereka bakal menerima ganjaran lumayan berjumlah RM700,000 menerusi Dana Kandungan Kreatif (DKK) daripada Kementerian Komunikasi melalui MyCreative Ventures (MyCV). Kategori Album Terbaik menerima dana RM200,000 manakala kategori lain seperti Artis Baru Terbaik, Lagu Tradisional Terbaik, Lagu Perpaduan Terbaik, Lagu Inggeris Tempatan Terbaik, Video Muzik Terbaik dan lain-lain menerima RM50,000 setiap satu.
Sebanyak 30 kategori dipertandingkan tahun ini, termasuk empat kategori baharu iaitu Lagu Tradisional Terbaik, Lagu Perpaduan Terbaik, Kolaborasi Artis Tempatan Bersama Artis / Komposer Luar Negara Terbaik serta Kugiran Terbaik. Daripada jumlah itu, enam kategori diumumkan pada Majlis Pra-Anugerah pada 12 September, manakala 24 kategori utama akan didedahkan pada malam kemuncak 13 September.
Majlis penuh berprestij ini akan disiarkan secara langsung melalui TV2 dan RTM Klik, bermula dengan acara Karpet Merah pada jam 8 malam sebelum acara utama bermula pada jam 9 malam. Dengan barisan artis ternama, persembahan istimewa dan ganjaran bernilai besar, AIM24 dijangka menjadi malam yang benar-benar membawa maksud “Kemuncak Segala-Galanya” buat industri muzik Malaysia.