Gardenia Bakeries (KL) Sdn. Bhd. terus memperluaskan komitmennya dalam pembangunan bakat muda negara menerusi kerjasama strategik bersama Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Selangor melalui Gardenia x UiTM Apprenticeship 2026. Program yang berlangsung dengan jayanya itu menjadi platform penting dalam menghubungkan dunia akademik dan industri, selain memberi peluang kepada mahasiswa untuk memahami selok-belok sebenar industri makanan, khususnya dalam bidang bakeri, inovasi produk dan pembangunan jenama. Kemuncak program tersebut menyaksikan Gardenia dan UiTM Cawangan Selangor memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bagi memperkukuhkan kerjasama antara kedua-dua pihak dalam menyediakan lebih banyak peluang pembelajaran berasaskan industri kepada mahasiswa. Melalui kerjasama ini, mahasiswa bukan sahaja memperoleh ilmu secara teori, malah diberi peluang mengaplikasikan pengetahuan mereka dalam menyelesaikan cabaran sebenar industri menerusi pembangunan produk serta strategi pemasaran. Pengurus Kanan Pemasaran Gardenia Bakeries (KL) Sdn. Bhd., Puan Ena Suhaila Abas berkata, program tersebut mencerminkan usaha Gardenia dalam menyokong pembangunan generasi muda yang kreatif, berdaya saing dan mempunyai pemikiran inovatif. Menurut beliau, mahasiswa hari ini perlu diberi pendedahan lebih awal terhadap keperluan industri supaya mereka mampu membina keyakinan dan kemahiran yang diperlukan apabila memasuki alam pekerjaan. “Melalui Gardenia x UiTM Apprenticeship, kami mahu membuka ruang kepada pelajar untuk melihat industri dari perspektif yang lebih luas. Mereka bukan sahaja belajar menghasilkan produk, tetapi turut memahami aspek penting seperti strategi jenama, keperluan pengguna dan potensi pasaran,” katanya. Sementara itu, Prof. Dr. Ahmad Taufek Abdul Rahman, Menjalankan Fungsi Rektor UiTM Cawangan Selangor berkata, hubungan erat antara universiti dan industri merupakan elemen penting dalam melahirkan graduan yang berkualiti serta mempunyai kebolehpasaran tinggi. Beliau menjelaskan bahawa pengalaman secara langsung bersama pemain industri memberikan nilai tambah kepada mahasiswa kerana mereka dapat melihat bagaimana sesuatu idea diterjemahkan menjadi produk yang mempunyai nilai komersial. Gardenia x UiTM Apprenticeship 2026 melibatkan penyertaan 22 kampus UiTM di seluruh Semenanjung Malaysia dengan penyertaan seramai 110 mahasiswa bersama bimbingan pensyarah mentor masing-masing. Dalam program ini, setiap pasukan diberikan tugasan untuk membangunkan produk berasaskan rangkaian Gardenia Ready-to-Eat (RTE) termasuk QuickBites, PUAZZ!, Toast’em Waffles, Squiggles dan Twiggies. Cabaran tersebut memberi peluang kepada peserta untuk meneroka proses inovasi produk bermula daripada mengenal pasti idea, membangunkan konsep baharu, mencipta strategi pemasaran sehingga menyediakan cadangan pelancaran produk. Selepas melalui proses penilaian, pasukan Munchz Grab & Bites Delight dari UiTM Cawangan Pahang, Kampus Raub berjaya muncul sebagai juara program tersebut. Pasukan itu membawa pulang hadiah wang tunai RM5,000 serta peluang menjalani latihan industri bersama Gardenia. Naib juara pula dimenangi oleh pasukan Kaya Cakoi Bites dari UiTM Cawangan Negeri Sembilan, Kampus Kuala Pilah dengan hadiah RM3,000, manakala tempat ketiga diraih oleh Dip N Bite dari UiTM Cawangan Kelantan, Kampus Kota Bharu yang menerima RM1,500. Dua pasukan turut menerima hadiah sagu hati iaitu Mochi Roti Bites dari UiTM Cawangan Kelantan, Kampus Machang dan GD Burger dari UiTM Cawangan Negeri Sembilan, Kampus Seremban. Pasukan UiTM Cawangan Pahang, Kampus Raub turut menerima Anugerah Pembentangan Terbaik. Bagi pasukan juara, pengalaman menyertai program tersebut menjadi satu peluang berharga untuk memahami bagaimana industri sebenar beroperasi serta membina kemahiran dalam menghasilkan produk yang memenuhi keperluan pengguna. Selain pertandingan inovasi, Gardenia x UiTM Apprenticeship 2026 turut dilengkapi dengan kajian berkaitan tabiat pemakanan mahasiswa yang dijalankan oleh UiTM melibatkan lebih 2,200 responden daripada 22 kampus. Kajian tersebut memberi fokus kepada pemahaman terhadap corak pemakanan mahasiswa serta kaitannya dengan prestasi akademik dan kesejahteraan diri. Hasil kajian dijangka membantu Gardenia mengenal pasti keperluan pengguna muda bagi menghasilkan produk yang lebih sesuai dengan gaya hidup masa kini. Dalam usaha mendekati komuniti mahasiswa, Gardenia turut melaksanakan Siri Jelajah Kampus di semua lokasi yang terlibat. Program tersebut menyediakan ruang interaksi antara mahasiswa dan pasukan Gardenia menerusi aktiviti menarik serta pengenalan kepada produk Ready-to-Eat (RTE). Sepanjang siri jelajah itu, lebih 11,000 pek produk RTE telah diagihkan kepada mahasiswa sebagai sebahagian daripada usaha Gardenia memperkukuhkan hubungan dengan generasi muda serta menggalakkan pembelajaran melalui pengalaman industri. Melalui inisiatif berterusan seperti Gardenia x UiTM Apprenticeship 2026, Gardenia membuktikan peranan aktifnya dalam menyokong pembangunan modal insan negara serta memperkukuhkan ekosistem kerjasama antara industri dan institusi pendidikan tinggi Malaysia. Post navigation Stratus Global Bersedia Ke Pasaran Utama Bursa Malaysia Dengan IPO Bernilai RM285 Juta