Lexus didenda pihak berkuasa China

GARA-GARA melakukan manipulasi harga model premiumnya, Lexus, Toyota dikenakan denda sebanyak 87.6 juta yuan (RM51.6 juta) oleh pihak berkuasa China baru-baru ini.

Tindakan tersebut dibuat ketika China dilihat mula mengetatkan garis panduan jualan kenderaan di pasaran terbesar dunia. Masakan tidak, tahun lalu sahaja, lebih 28 juta kenderaan berjaya dijual di negara tersebut.

Biro antimonopoli yang bertanggungjawab terhadap aspek garis panduan pasaran memberitahu, pada tahun 2015 hingga 2018, Toyota dikatakan telah menetapkan jualan minimum dan harga jualan semula kenderaan premiumnya di Jiangsu.

Lexus juga menetapkan strategi jualannya dalam tempoh tersebut, termasuklah menawarkan diskaun kepada pelanggan. Sedangkan pada masa sama, meminta mereka membeli aksesori pada harga tetap.

Ini merupakan satu taktik jualan yang biasa digunakan oleh jurujual kenderaan di China.

Ketika jualan kenderaan di China semakin menurun, jualan Lexus bagaimanapun terus meningkat. Jenama itu berjaya menjual sekitar 180,200 unit kenderaan dalam tempoh 11 bulan pertama tahun ini, naik 21 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

Pada Jun lalu, badan sama mengenakan denda sebanyak 162.8 juta yuan (RM96 juta) ke atas Ford Motor dan rakannya, Changan Automobile Group kerana melanggar undang-undang antimonopoli.



Sumber

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *