Kumpulan muzik baharu LEV secara rasmi melancarkan single sulung mereka berjudul “Aku Bukan Bosan”, yang kini boleh didengari di semua platform penstriman digital. Pelancaran ini sekaligus menandakan kemunculan rasmi mereka dalam industri muzik tanah air sejak penubuhan pada 13 Mei 2022.
LEV dianggotai oleh tiga anak muda berbakat besar iaitu Leo Azman selaku vokalis, komposer dan penulis lirik, Riz sebagai gitaris, dan Kecik yang memainkan bass. Di bawah naungan Empayar Masdo Sdn. Bhd., syarikat pengurusan yang turut menaungi kumpulan popular MASDO, LEV tampil dengan identiti muzik mereka sendiri yang lebih bersahaja, namun sarat makna.
Lagu “Aku Bukan Bosan” merupakan ciptaan sepenuhnya oleh Leo Azman, dengan penerbitan, adunan dan mastering disempurnakan oleh Andi, anggota kumpulan terkenal Indonesia, Fourtwnty. Proses rakaman dijalankan di Bijanfx Studio dan melalui lima fasa draf dalam tempoh dua minggu sebelum versi akhir disiapkan. Kesungguhan dan ketelitian ini jelas terpancar dalam kualiti akhir lagu tersebut.

Mengangkat tema pengorbanan lelaki yang hidup berjauhan daripada keluarga demi mencari rezeki, lagu ini turut menyentuh dilema dalam hubungan jarak jauh yang sering dilanda salah faham dan kekurangan komunikasi. Andi sebagai penerbit menyatakan bahawa karya ini membawa suara realiti yang jarang diberi ruang dalam arus perdana satu bentuk naratif yang mewakili kelompok lelaki yang memendam rasa.
Sebelum pelancaran rasmi, “Aku Bukan Bosan” telah pun diperdengarkan secara langsung kepada umum menerusi persembahan LEV sempena Jelajah Menuju MASDO 10 Tahun yang berlangsung di beberapa lokasi sekitar Selangor dan Kuala Lumpur. Persembahan tersebut menjadi platform awal untuk memperkenalkan identiti muzik LEV dan mencipta hubungan awal dengan peminat.
Dengan pendekatan muzik yang tulus dan lirik yang jujur berasaskan pengalaman sebenar, LEV muncul sebagai antara nama baharu yang membawa nafas segar kepada dunia muzik tempatan. Pelancaran “Aku Bukan Bosan” bukan sahaja membuka lembaran baharu buat LEV, malah memperlihatkan komitmen mereka dalam memperjuangkan muzik yang benar-benar mencerminkan suara hati.