Lebih 7,000 Peminat Sertai ‘Keluang Man WONDA Fun Run’ – Larian Superhero Original Pertama Malaysia

Menjelang tayangan filem aksi langsung Keluang Man pada 29 Mei ini, Astro Shaw membawakan pengalaman unik kepada peminat menerusi acara Keluang Man WONDA Fun Run – larian bertemakan superhero tempatan pertama seumpamanya di Malaysia. Acara ini merupakan hasil kerjasama antara Astro Shaw, Wonda Kopi, dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bersempena inisiatif Car Free Morning.

Diadakan buat pertama kali di ibu kota, acara ini menyaksikan lebih 7,000 peserta dari pelbagai peringkat umur berkumpul di Menara DBKL seawal pagi. Larian sejauh 5 kilometer bermula pada jam 6.45 pagi dengan sesi memanaskan badan, diikuti pelepasan rasmi pada jam 7.00 pagi oleh karakter Keluang Man, maskot BeBe dan Datuk Bandar Kuala Lumpur, YBhg. Dato’ Seri TPr (Dr.) Maimunah binti Mohd Sharif.

Yang menariknya, hampir semua peserta tampil bergaya mengenakan topeng ikonik Keluang Man, dan sebahagian daripada mereka turut menerima jersi eksklusif edisi terhad. Acara ini turut dimeriahkan dengan kehadiran barisan pelakon filem Keluang Man termasuk Nas Muammar Zar, Datuk Rosyam Nor, Shweta Sekhon, Anwaar Beg Moghal, Sham Sunder, Razzuan Rosli serta artis yang menyumbangkan lagu tema, Krisya dan kumpulan S.O.G.

Ketua Astro Shaw merangkap penerbit eksekutif Keluang Man, Raja Jastina Raja Arshad berkata, “Kami amat menghargai sokongan luar biasa daripada para peminat dan peserta larian, serta rakan kolaborasi seperti Wonda Kopi dan DBKL. Acara ini bukan sahaja meraikan kemunculan Keluang Man di layar perak, tetapi turut membawa nilai dan semangat superhero ke tengah masyarakat. Keluang Man adalah simbol kekuatan, keberanian dan ketangkasan – kami berharap mesej ini mampu menginspirasi orang ramai untuk kekal aktif dan positif dalam kehidupan seharian.”

Para peserta juga disajikan dengan pelbagai aktiviti menarik di tapak acara seperti sesi bertemu dan bergambar bersama pelakon dan maskot, persembahan daripada Krisya dan S.O.G, cabutan bertuah, jualan barangan eksklusif merchandise Keluang Man, siaran luar oleh ERA dan banyak lagi. Tidak ketinggalan, peserta berpeluang menikmati sampel Wonda Kopi Kluang, mencuba burger istimewa Wonda-ful Keluang Man, dan tawaran menarik daripada Iconic Animation Studio, Fung Keong dan Abstrax.

Dalam perkembangan lain, kolaborasi antara Wonda Coffee dan Keluang Man turut membuahkan hasil luar biasa apabila minuman edisi khas Wonda Kopi Kluang mencatatkan jualan melebihi 2 juta tin hanya dalam tempoh lapan bulan.

Filem Keluang Man merupakan terbitan Astro Shaw dengan kerjasama GSC, Idea River Run dan produksi Pasal Productions serta disokong oleh rakan strategik Wonda Kopi. Filem ini diarahkan oleh Anwari Ashraf dan menampilkan pelakon-pelakon hebat seperti Nas Muammar Zar, Dato’ Remy Ishak, Shweta Sekhon, Datuk Rosyam Nor, Anwaar Beg Moghal, Halim Othman, Amelia Henderson dan ramai lagi.

Trailer rasmi terakhir telah dilancarkan semalam, susulan kejayaan trailer pertama yang mencatat hampir 10 juta tontonan di TikTok @astroshawofficial. Filem ini mengisahkan Borhan, seorang pesakit psikiatri yang melarikan diri setiap malam dari hospital. Ketika diburu sejarah silamnya, Borhan yang menghidap ‘Dissociative Schizophrenia’ tanpa sedar membentuk identiti baharu sebagai Keluang Man, seorang wira yang bangkit dari trauma.

Jangan lupa saksikan Keluang Man di pawagam seluruh negara bermula 29 Mei ini. Ikuti segala perkembangan dan kandungan menarik di TikTok, Instagram, Facebook dan X Astro Shaw serta Astro Gempak. Gunakan tanda pagar rasmi #KeluangMan dan #KeluangManMovie untuk berkongsi keterujaan anda!