Lebih 3,000 di Terengganu semarakkan Program Malaysia#QuranHour
Lebih 3,000 di Terengganu semarakkan Program Malaysia#QuranHour
Pengerusi Rumah Ngaji Terengganu, Mohd Al-Azahary Abdullah Sani berkata, program selama sejam itu dilaksanakan serentak bermula jam 12 tengah hari hingga 1 tengah hari dalam suasana norma baharu melalui aplikasi Zoom, YouTube dan Facebook live.
Katanya, antara lokasi yang menyahut seruan program Malaysia#QuranHour itu ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Paka, Dungun; Masjid Al- Muktafi Billah Shah, di sini dan Universiti Sultan Zainal Abidin ( UNiSZA ) Gong Badak, Kuala Nerus.
“Jika di SMK Paka, saya menerima maklumat seramai lebih 1,000 penyertaan yang bukan sahaja daripada pelajar dan guru, tetapi sambutan luar biasa daripada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah berkenaan.
“Seramai 500 peserta melalui Google Meet dan 841 peserta di YouTube live sekolah. Pihak sekolah juga memaklumkan sambutan kali ini di luar jangkaan dan lebih meriah jika dibandingkan dengan tahun sebelum ini,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, di sini pada Isnin.
Kempen Malaysia #QuranHour kali ini mengetengahkan surah Al-Mulk dan tujuh surah Musabbihat sebagai formula membentuk dan menggerakkan negara ke arah lebih harmoni, progresif dan utuh.