KUMPULAN MULTIMEDIA RAIKAN AIDILFITRI DENGAN DERETAN KARYA BAHARU, SOKONG INDUSTRI KREATIF TEMPATAN!

Bersempena sambutan Hari Raya Aidilfitri yang penuh kemeriahan, Kumpulan Multimedia tidak melepaskan peluang untuk menghidangkan pelbagai pengumuman menarik kepada peminat dunia hiburan tanah air. Majlis Rumah Terbuka Multimedia 2025 yang berlangsung meriah bukan sahaja meraikan lebaran, malah menjadi pentas memperkenalkan pelbagai karya baharu di bawah naungan Multimedia Entertainment.

Antara pengumuman utama yang mencuri tumpuan ialah pelancaran “LEGASI BOMBA THE MOVIE”, sebuah filem aksi penuh emosi yang mengangkat semangat kepahlawanan anggota bomba. Filem ini bakal menemui penonton di pawagam seluruh negara bermula 28 Ogos 2025, dan dijangka meninggalkan kesan mendalam menerusi jalan cerita menyentuh hati serta babak-babak aksi mendebarkan.

Turut diumumkan ialah acara kemuncak program popular “MELODI KITA” yang bakal menutup tirainya dengan sebuah konsert busking percuma di Resorts World Awana, Genting Highlands pada 26 April 2025. Orang ramai dijemput hadir untuk sama-sama memeriahkan acara dan menikmati persembahan eksklusif daripada bintang-bintang Melodi Kita.

Tidak ketinggalan, Multimedia Entertainment turut mendedahkan perancangan terbaharu mereka dalam genre filem supernatural. Dua buah naskhah berjudul “Amok Bujang Raja” dan “Naga Tasik Chini” bakal memulakan penggambaran sekitar suku ketiga 2025, dan dijangka memberi nafas baharu kepada industri perfileman tempatan dengan pendekatan penceritaan yang segar dan penuh elemen mistik.

Majlis ini bukan sahaja menghimpunkan para penggiat industri, media dan peminat dalam suasana mesra dan penuh harmoni, malah menjadi platform untuk mengukuhkan lagi sokongan terhadap karya-karya kreatif tempatan. Kumpulan Multimedia mengucapkan jutaan terima kasih atas sokongan berterusan semua pihak dan menyeru rakyat Malaysia untuk terus menyokong hasil kerja anak tempatan yang kian berkembang pesat dan berkualiti.