Konvensyen al-Kahf Melaka tampil pendekatan berbeza

MELAKA – Kerajaan negeri Melaka akan menampilkan pendekatan berbeza pada penganjuran sulung Konvensyen al-Kahf yang diadakan di negeri ini di Auditorium Al-Azim, Masjid Al-Azim di Bukit Palah pada 23 Mei depan.

Program anjuran Jabatan Mufti Melaka, Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) dengan kerjasama Yayasan Warisan Ummah Ikhlas dan Kumpulan Media Karangkraf ini dijangka menarik hampir 1,000 penyertaan.

Mufti negeri, Datuk Abdul Halim Tawil berkata, tema yang dipilih adalah berdasarkan surah al-Kahf malah akan menjadi topik perbincangan di program tersebut bagi melahirkan masyarakat yang cintakan al-Quran sempena bulan Ramadan kali ini.

Menurutnya, ia sekaligus sebagai pengisian Jabatan Mufti bagi merencanakan program di bawah kerajaan negeri sempena Nuzul al-Quran.

“Konvensyen al-Kahf peringkat negeri Melaka bagi tahun 1440 Hijrah bersamaan 2019 ini tercetus apabila kita melihat Karangkraf itu sendiri sebagai salah satu daripada media arus perdana dalam konteks dunia teknologi maklumat sebagai agen berita yang telah menganjurkannya di beberapa buah negeri sebelum ini.

“Justeru, saya terpanggil untuk bekerjasama dengan Yayasan Warisan Ummah Ikhlas untuk menganjurkan program ini di peringkat negeri Melaka,” katanya kepada Sinar Harian di sini kelmarin.

Fahami konsep

Abdul Halim berkata, ia bagi mengajak masyarakat supaya memahami konsep turunnya wahyu teragung kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW dalam membudayakan al-Quran di dalam kehidupan serta menimbulkan kesedaran masyarakat untuk membaca dan memahami al-Quran sekaligus mengamalkannya dalam kehidupan.

“Pemilihan surah al-Kahf kerana ia antara surah yang ada fadilat besar yang diajarkan oleh Nabi Muhammad SAW untuk dihayati antaranya sunnah dibaca pada hari Jumaat atau malam Jumaat.

“Di dalam surah al-Kahf sendiri ada mengisahkan beberapa peristiwa besar misalnya sekumpulan pemuda yang beriman dan bertakwa sanggup lari daripada kezaliman dan kesyirikan untuk beriman kepada ALLAH SWT.

“Mesejnya adalah untuk kita melahirkan satu generasi yang dapat memahami dan menghayati perjuangan sekumpulan pemuda itu tadi di dalam surah al-Kahf,” katanya.

Beliau turut yakin program itu nanti dapat memberikan kesedaran kepada masyarakat terhadap keseluruhan isi kandung al-Quran dari sudut membaca dan memahami kehidupan seharian.

“Ada beberapa pendekatan berbeza pada penganjuran kali ini, antaranya pembacaan surah al-Kahf, pesanan ulamak, pentadabbur, forum, program pembacaan dan pemahaman isi kandungan surah al-Kahf itu sendiri.

“Saya yakin dalam mengulas dan mengupas sejarah, asbabun nuzul, ibrah dan pengajaran beberapa pokok penting akan diulas oleh tokoh-tokoh hebat sepanjang program itu nanti,” katanya.

Beliau juga percaya program itu dapat menarik masyarakat dan ia terbuka buat penduduk di negeri ini untuk menjadi peserta.

“Kita menyasarkan kira-kira 1,000 peserta terutama dalam kalangan penjawat awam dan peserta Rumah Ngaji sendiri dan pemegang tauliah al-Quran, orang awam serta badan bukan kerajaan (NGO).

“Saya harap peserta berminat dapat mendaftar segera selewat-lewatnya Selasa depan,” katanya.

Cabaran besar

Dalam pada itu, beliau menegaskan, Jabatan Mufti sendiri mempunyai cabaran besar yang bukan sekadar untuk menimbulkan kesedaran tetapi melahirkan pendakwah-pendakwah, pembimbing al-Quran yang terlatih dan bertauliah yang dikawal Jabatan Mufti itu sendiri.

“Tujuannya bagi memastikan masyarakat mendapat ilmu yang betul dengan cara penyampaian dan kefahaman yang betul bagi mengelak ia dieksploitasi oleh elemen-elemen tidak sihat.

“Saya melihat al-Quran ini mestilah mempunyai satu disiplin terbaik tentang bagaimana belajar dan mempelajarinya. Mungkin sesetengah masyarakat memikirkan mereka boleh belajar al-Quran menerusi YouTube atau medium elektronik tetapi di sebalik al-Quran walaupun ada teknologi digital dan sebagainya namun ia mesti mengadap guru bagi mencari keberkatan,” jelasnya.

Justeru, ujarnya, penganjuran kali pertama di Melaka Konvensyen al-Kahf diharap mendapat sambutan yang baik dan melahirkan kesedaran masyarakat.

“Harapan kami ia dapat dihayati segala isi kandung dan memahami konsep di turunkan al-Quran itu sendiri di semua peringkat tidak kira remaja, kanak-kanak dewasa, orang tua, penjawat awam, profesional, orang kampung semuanya terlibat dalam menghayati al-Quran. “Yang penting al-Quran adalah agen perpaduan,” katanya.

Program antarabangsa

Mengenai penganjuran Program World #QuranHour menurutnya ia adalah satu program yang baik dan ia bukan sahaja bersifat nasional malah sudah ke tahap antarabangsa apabila difahamkan lebih 50 buah negara telah pun menganjurkannya secara serentak sempena bulan Ramadan ini.

Menurutnya, di peringkat negeri ini pula, ia bukan sahaja disertai oleh rakyat biasa sebaliknya turut disertai kalangan ulama dan umarak.

“Program ini dapat digerak ke seluruh dunia termasuk di Afrika, China, Jepun, Indonesia dan Arab Saudi. Ia telah mencetuskan satu kesedaran masyarakat dan mungkin bilangan mereka yang menyertai nampak kecil dalam sejam atau dua jam tetapi telah berjaya menghimpunkan ratusan juta umat Islam seluruh dunia untuk memegang, membaca memahami dan paling kurang menghormati al-Quran.

“#QuranHour juga telah berjaya mengubah sebahagian dalam kalangan yang sebelumnya agak pemalu dan mungkin golongan yang sudah meninggalkan al-Quran sehingga menjadi penggerak termasuk dalam kalangan artis dan individu.

“Saya ucap tahniah kepada Karangkraf dan mungkin tahun ini lebih ramai lagi akan menyertainya,” katanya.



Sumber

Add a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *