Konsert Ikonik Exists & Slam: Satu Malam, Dua Legenda, Satu Sejarah!

Dua nama legenda, satu pentas bersejarah. Buat julung kalinya, dua kumpulan ikonik yang menjadi suara hati generasi 90-an – Exists dan Slam – akan bergabung dalam satu konsert mega yang pastinya akan menyentuh jiwa para peminat. Diberi judul Exists X Slam Live in Singapore, konsert ini bakal berlangsung pada 29 November 2025 di lokasi berprestij, The Star Theatre, Singapura.

Di bawah anjuran Shiraz Projects, konsert ini bukan sekadar pertemuan dua nama besar, tetapi simbol penyatuan warisan muzik yang tak lapuk dek zaman. Gabungan Exists dan Slam mencerminkan kekuatan muzik mereka yang terus hidup dalam hati pendengar, meskipun lebih dua dekad berlalu sejak mereka mula mencipta fenomena.

Menurut Shiraz, Pengarah Urusan Shiraz Projects, konsert ini lahir daripada penghargaan terhadap pengaruh besar Exists dan Slam dalam industri. “Kami tahu kedua-dua kumpulan mampu menarik peminat mereka sendiri. Tapi apabila diberi peluang untuk satukan mereka dalam satu malam istimewa, kami tahu ini bukan sekadar persembahan – ini satu peristiwa,” jelasnya.

Setiap kumpulan membawa kisah perjuangan tersendiri. Meski pernah melalui fasa pertukaran ahli dan cabaran industri, Exists dan Slam kekal relevan. Lagu-lagu mereka seperti Oh Ibu, Jesnita, Mengintai Dari Tirai Kamar, Tak Mungkin Berpaling dan Gerimis Mengundang masih berkumandang hingga hari ini – bukti kekuatan melodi dan lirik mereka dalam merakam perasaan manusia.

Lebih istimewa, suara dua vokalis tersohor – Ezad (Exists) dan Zamani (Slam) – akan kembali mengalunkan lagu-lagu yang sudah menjadi sebahagian daripada memori ramai. Peminat bakal ‘dibawa pulang’ ke zaman kegemilangan muzik mereka melalui persembahan secara langsung yang dijanjikan penuh emosi dan keindahan.

Bagi Exists dan Slam, konsert ini bukan tentang populariti, tetapi tentang mencipta momen terindah buat mereka yang setia. “Kami cuma mahu peminat hadir, menyanyi bersama dan pulang dengan hati penuh kenangan. Itu sudah cukup berharga,” ujar Along mewakili kedua-dua kumpulan.

Tiket untuk konsert Exists X Slam Live in Singapore boleh mula didapati pada 26 Mac 2025 melalui www.sistic.com.sg atau hubungi +65 6348 5555. Pilihan kategori termasuk Meet & Greet ($258), Diamond ($168), Platinum ($148), Gold ($128), Gold RV ($108), Silver ($108) dan Silver RV ($88).

Bersedialah untuk menyaksikan malam yang bakal menyatukan suara, memori dan emosi. Exists X Slam Live in Singapore – bukan sekadar konsert, tapi detik yang akan terpahat dalam sejarah muzik tanah air.