Konsert Hael Husaini & Repertoire Rayakan Lebih 10 Tahun Kerjaya Muzik Bersama Artis Ternama

Penyanyi, komposer serta penerima pelbagai anugerah tempatan dan antarabangsa, Hael Husaini, akhirnya merealisasikan impian yang dipendam sekian lama melalui penganjuran konsert solo pertamanya bertajuk Hael Husaini & Repertoire. Konsert yang dianjurkan dengan kerjasama Astro dan Rocketfuel Entertainment ini berlangsung di Zepp Kuala Lumpur, menghimpunkan lagu-lagu ciptaan Hael yang paling bermakna serta meraikan perjalanan seninya yang sudah melebihi satu dekad dalam industri muzik.

Bagi Hael, pentas ini menjadi simbol kepada segala usaha, pengorbanan dan pengalaman jatuh bangun yang telah dilaluinya. Lebih daripada sekadar hiburan, ia merupakan ruang untuk beliau menyampaikan rasa terima kasih kepada peminat setia, rakan-rakan artis dan semua individu yang menyokongnya sejak mula berkarya.

Dengan menjadikan repertoire sebagai konsep utama, Hael mempersembahkan seleksi lagu popularnya serta karya ciptaan yang pernah dipopularkan oleh penyanyi tersohor tanah air antaranya Dayang Nurfaizah, Nadeera, Nabila Razali dan Wany Hasrita. Mereka turut membuat penampilan istimewa di atas pentas, membawa lagu-lagu tersebut dengan gaya persembahan unik yang menyerlahkan keistimewaan masing-masing.

Hael memilih penyanyi-penyanyi ini kerana yakin sentuhan suara mereka mampu memberi nyawa kepada setiap lagu. Bagi beliau, mereka bukan sekadar penyanyi undangan, tetapi sebahagian daripada kisah hidupnya sebagai seorang komposer dan penggiat seni.

Konsert ini turut diserikan dengan persembahan kumpulan baharu ALPHA, juara program realiti Big Stage Alpha, yang membuka acara dengan penuh bertenaga. Mereka membawakan lagu-lagu seperti Bujang dan Lara, sekali gus memperlihatkan kesinambungan bakat generasi baharu yang turut dibimbing Hael ketika beliau menjadi juri program tersebut.