Filem aksi komedi terbaharu berjudul KLEPET arahan Indra Putra atau Sanji menjanjikan pengalaman menonton yang penuh kelainan. Menggabungkan elemen komedi pelbagai gaya, daripada lawak spontan hingga animasi dan situasi rawak, KLEPET membawa penonton menyelami pengembaraan tiga sahabat yang bertukar menjadi tragedi mengujakan selepas kemunculan seorang gadis misteri dari Ukraine.
Mengisahkan Paly, Jany dan Wady yang merancang percutian santai menaiki motorhome, perjalanan mereka berubah apabila muncul Lola, gadis penuh misteri yang membawa pelbagai kekacauan. Dari situ, hidup mereka bertukar menjadi huru-hara apabila terjebak dengan hitman, situasi berbahaya dan penemuan wang berkepuk yang mencetuskan pelbagai kekeliruan serta konflik antara mereka.
Indra Putra menjelaskan bahawa KLEPET bukan sekadar filem hiburan ringan, tetapi juga menonjolkan nilai persahabatan dan pengorbanan. Beliau mahu filem ini disampaikan dengan cara yang dekat dengan jiwa anak muda tanpa mengabaikan mesej sosial dan kepekaan terhadap persekitaran. Filem ini turut menampilkan gandingan pelakon popular seperti Aedy Ashraf, Meerqeen dan Nadhir Nasar sebagai teraju utama, disokong oleh Aeril Zafrel, Joey Daud, Eric Fuzi, Namie SMY, Adlin Aman Ramlie serta pelakon kelahiran Ukraine, Darina Porhun.

Menurut Aeril Zafrel selaku penerbit, filem ini menampilkan visual dan pendekatan penceritaan yang segar serta berbeza daripada filem aksi komedi tempatan yang lain. KLEPET turut mendapat sokongan Dana Kandungan Digital (DKD) daripada FINAS dan menjalani penggambaran sepenuhnya di negeri Melaka selama 25 hari dengan kos penerbitan mencecah RM2.6 juta.
Filem ini bakal ditayangkan di seluruh pawagam Malaysia mulai 27 November 2025 dan menjanjikan gabungan aksi, lawak dan mesej persahabatan yang menghiburkan seisi keluarga. Tiket kini boleh dibeli melalui laman web rasmi TGV di www.tgv.com.my atau aplikasi TGV.