Kempen bantu pendidikan, penampilan anak Orang Asli

SEBANYAK 30 sen hasil jualan produk terpilih jenama TOP di semua cawangan Tesco tahun lalu digunakan membeli keperluan kanak-kanak Orang Asli kembali ke sekolah.

SEBANYAK 30 sen hasil jualan produk terpilih jenama TOP di semua cawangan Tesco tahun lalu digunakan membeli keperluan kanak-kanak Orang Asli kembali ke sekolah.

DALAM usaha memastikan semua pelajar di negara ini mendapat kesamarataan pendidikan berkualiti demi melahirkan pemimpin masa depan, jenama produk isi rumah TOP sekali lagi mengambil inisiatif melancarkan Kempen Cerahi Kehidupan Bersama TOP.

Program tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang dijalankan bersama pasar raya Tesco itu memfokuskan pada misi membantu kumpulan murid dan pelajar dalam kalangan masyarakat Orang Asli.

Selain menggalakkan mereka ke sekolah dengan kelengkapan mencukupi dan kepentingan pendidikan dalam kehidupan, matlamat Kempen Cerahi Kehidupan Bersama TOP itu turut membantu meningkatkan keyakinan diri para pelajar.

Pada masa sama, mahu mendidik anak-anak Orang Asli tentang keperluan menitikberatkan aspek penampilan diri yang bersih dan kemas.

Menurut Pengurus Pemasaran (Divisyen Penjagaan Fabrik) Southern Lion Sdn Bhd, Ling Ai Li, inisiatif utama kempen berkenaan adalah untuk mengurangkan beban kewangan keluarga Orang Asli di Pos Tenau, Ulu Slim, Perak dan Kuala Rompin serta Sungai Lembing di Pahang.

Ujar beliau, masyarakat Orang Asli mewakili hanya 0.7 peratus daripada populasi rakyat Malaysia yang mana sebahagian besarnya tinggal di bawah garis kemiskinan.

“Menurut Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025, transisi pelajar Orang Asli daripada sekolah rendah ke sekolah menengah adalah sebanyak 73.1 peratus berbanding purata kebangsaan iaitu 87.19 peratus pada 2017.

“Sementara itu, kadar purata kadar kehadiran pelajar Orang Asli ke sekolah rendah pula sebanyak 87.4 peratus lebih rendah berbanding purata kebangsaan.

“Justeru, bagi meningkatkan semangat baik murid mahupun pelajar daripada kalangan masyarakat berkenaan ke sekolah, kami bersama rakan strategik (Tesco) mengagihkan pakaian seragam, kasut, stokin, beg sekolah, alat tulis dan buku latihan,” katanya dalam satu kenyataan kepada Femina baru-baru ini.

Direkodkan, kempen yang memasuki tahun keempat itu telah membantu lebih 1,800 orang pelajar dan murid berusia antara tujuh hingga 17 tahun daripada pelbagai pertubuhan bukan kerajaan.

Bagi menjayakan kempen tersebut 30 sen hasil jualan produk terpilih jenama TOP di semua cawangan Tesco dan Tesco Online yang bermula pada 15 November hingga 15 Disember tahun lalu digunakan untuk membeli keperluan kanak-kanak Orang Asli kembali ke sekolah.

Sumber