Kementerian Kewangan lulus insentif cukai khas pacu pelaburan Tok Bali

KUALA LUMPUR – Kementerian Kewangan meluluskan insentif cukai khas untuk memacu pelaburan di Tok Bali, Kelantan, sebagai pusat pertumbuhan baharu di negeri itu dengan memberikan pengecualian cukai pendapatan sebanyak 100 peratus selama 15 tahun dan cukai pendapatan pada kadar istimewa 17 peratus bagi lima tahun berikutnya.

Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, individu pemastautin bukan warganegara yang memegang jawatan pengurusan kanan bagi syarikat yang diluluskan insentif itu hanya akan dikenakan kadar cukai rata sebanyak 15 peratus untuk meningkatkan daya saing Kelantan sebagai destinasi pelaburan.

“Menyedari cabaran yang dihadapi Kelantan, Kerajaan Persekutuan yakin bahawa insentif cukai khas yang dilaksanakan melalui Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) itu akan merancakkan transformasi ekonomi negeri.

“Pada masa yang sama, projek pembangunan infrastruktur dan kesalinghubungan di kawasan berhampiran seperti Jalan Central Spine dan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) juga dapat meningkatkan tarikan pelaburan terutamanya ke kawasan Tok Bali,” katanya dalam satu kenyataan selepas melawat Tok Bali sempena Jelajah Bajet 2022 di Kelantan pada Selasa.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC, Datuk Baidzawi Che Mat berkata, Tok Bali disasarkan menjadi pusat pertumbuhan baharu di Kelantan.

“Menerusi insentif cukai khas serta projek berimpak tinggi di kawasan ini, antaranya Taman Industri Tok Bali (TBIP), Taman Perikanan Bersepadu Tok Bali (TBIFP) dan infrastruktur luaran bagi Pelabuhan Tok Bali yang sedang dilaksanakan oleh ECERDC, kami yakin bahawa usaha ini dapat menyumbang ke arah mencapai sasaran pelaburan sebanyak RM2.3 bilion.

“Pelaburan ini dijangka dapat menjana 4,200 peluang pekerjaan baharu dan 270 peluang keusahawanan untuk masyarakat tempatan,” katanya.

Pembangunan kawasan Tok Bali akan memberi tumpuan terhadap lima sektor utama iaitu pembuatan, perikanan, minyak dan gas, logistik dan perkhidmatan serta ekopelancongan bagi mempelbagaikan ekonomi di kawasan ini dan meningkatkan daya saingnya sebagai destinasi pelaburan yang seterusnya akan mewujudkan pekerjaan berpendapatan tinggi serta membuka peluang keusahawanan kepada masyarakat setempat. – Bernama



Sumber