Program Galeri Uniti di AEON Alpha Angle, Wangsa Maju, telah disempurnakan dengan kehadiran YB Datuk Aaron Ago Dagang, Menteri Perpaduan Negara. Salah satu projek di bawah inisiatif utama Kembara Perpaduan Malaysia MADANI, program ini kini dalam edisi kelima sejak penubuhannya. Mulai sekarang hingga 12 Mac 2023, AEON Co. (M) Bhd akan bersama-sama mengadakan acara selama tiga hari.
Menurut YB Menteri, objektif utama penganjuran program ini adalah untuk meningkatkan semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat melalui platform yang lebih santai. Program ini turut memberi peluang masyarakat mempelajari dan memahami keunikan dan kepelbagaian adat, budaya, dan kaum di Malaysia. Kementerian dalam masa yang sama meneroka lebih banyak tapak integrasi sosial di mana rakyat dapat berinteraksi antara satu sama lain serta mencipta feel good factor. Selain elemen kepelbagaian budaya, segmen kenegaraan yang menerapkan semangat patriotisme turut disusun sepanjang program berlangsung.
Antara pengisian utama program ini adalah:
- Panel Moment of Unity Pameran panel yang memaparkan detik-detik perpaduan serta kepelbagaian adat dan budaya masyarakat berbilang kaum di Malaysia.
- Persembahan Kebudayaan Pelbagai Etnik Persembahan yang mengetengahkan kebudayaan tradisional pelbagai etnik.
- Pameran Rumah KAMI Pameran yang menawarkan maklumat berkaitan pakaian, makanan dan sukan rakyat pelbagai etnik termasuklah masyarakat Melayu, Cina, India, Sabah dan Sarawak.
- Pameran Agensi
a. Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional – Pameran produk komuniti KRT
b. Jabatan Muzium Malaysia – Pameran buku-buku koleksi terbitan JMM, permainan Serak Lidi, Tudung Botol dan Tuju Getah.
c. Perpustakaan Negara Malaysia – Roda Ilmu dan U-Pustaka
d. Arkib Negara Malaysia – Kuiz Kemerdekaan dan Pameran Kemashyuran Kemerdekaan
Datuk Aaron turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak AEON (M) Co. Bhd di atas kerjasama yang konsisten bersama Kementerian dalam menggalas usaha merealisasikan aspirasi perpaduan nasional. Beliau juga sentiasa mengalu-alukan penglibatan lebih banyak agensi awam, swasta serta badan bukan kerajaan pada masa hadapan melalui program kolaborasi strategik seumpama ini khususnya di pusat membeli-belah yang menjadi tumpuan orang ramai.