VOLVO sememangnya antara jenama pengeluar kenderaan yang paling selamat di dunia dan mempunyai ‘pemujanya’ yang tersendiri.
Itu fakta yang sukar dinafikan. Penulis sendiri dapat merasai aura itu sepanjang mengendalikan jentera buatan Sweden berkenaan pada setiap kali sesi pandu uji.
Terbaharu, ulasan pandu uji model Volvo XC40 T5 R-Design sebelum ini membuktikan apa yang penulis katakan. Kali ini, Sinar Turbo sekali lagi diberi peluang oleh pihak Volvo Malaysia untuk memandu uji model Volvo Premium iaitu kompak utiliti sukan (SUV) XC90.
Sebelum dipacu lagi, penulis sudah dapat membayangkan tujahan kuasanya yang dipadankan trenkuasa Drive-E. Bagi pembaca yang mengikuti perkembangan jentera kehadiran XC90 T5 SUV tujuh kerusi premium versi hibrid plug-in (PHV) itu, pasti dapat juga menelah prestasinya dalam varian tertinggi berkenaan.
Sinar Turbo yang berkesempatan memandu uji model SUV XC90 dari Shah Alam ke Ipoh baru-baru ini memang tidak menafikan keselesaan optimum yang dihidangkan Volvo.
Perbezaan yang dirasai dari segi pemanduan dan keyakinan memacu kenderaan itu di atas jalan raya sememangnya tiada kompromi.
Melihat estetika dalamannya sahaja ketika memasuki perut kenderaan itu mampu mengubah emosi. Volvo menampilkan tempat duduk yang lebih langsing bagi menawarkan perlindungan tulang belakang yang lebih baik sekiranya berlaku kemalangan.
Tempat duduk balutan kulit hitam jenis Comfort Seats memberi keselesaan pemanduan lama dan jauh. Ia mengikut garis kontur dan berseni yang sangat menarik. Ya, bukan saja membangkitkan rasa yakin, yang penting selesa!
Barisan kedua pula fleksibel untuk diubah ke hadapan dan ke belakang bagi memberi ruang kaki dan lebih kapasiti untuk ruang kargo. Bagi yang berkeluarga, Volvo menyediakan kusyen peninggi bagi kanak-kanak di bahagian tengah. Wah, pastinya si kecil akan teruja.
Tidak sah tanpa tawaran bersifat terkini. Jentera itu dilengkapi dengan sistem infotainmen Sensus Connect dengan skrin sesentuh sembilan inci dan sambungan Apple CarPlay dan Android Auto. Skrin infotainmen seperti sebuah tablet menegak ke atas.
Terdapat juga 10 pembesar suara yang menghasilkan bunyi keliling dan berkualiti. Panel instrumen Adaptive Digital Display 12.3 inci dan pengawal pendingin hawa dua zon. Tawaran itu pastinya mengujakan.
Ciri keselamatan
Jika ditanya apa yang seronoknya memandu Volvo XC90 T5, jawapan jujur penulis ialah sistem teknologinya. Ia bermaksud teknologi yang digunapakai untuk pemanduan merangkumi sistem keselamatan aktif dan pasif yang canggih.
Sistem keselamatan aktif pada jentera itu ialah Adaptive Cruise Control, City Safety dengan Front Collision Warning dan Pedestrian and Cyclist Detection dengan Full Auto Brake, Lane Departure Warning, Lane Keeping Aid dan Blind Spot Information System (BLIS).
Ciri-ciri tersebut boleh diaktifkan melalui capaian butang pada stereng sahaja. Misalnya Adaptive Cruise Control dengan Pilot Assist membolehkan XC90 mengikut kelajuan kenderaan di hadapannya.
Sebagai contoh, jika kenderaan di hadapan berhenti, maka ia turut berhenti pada jarak yang ditetapkan oleh pemandu sendiri. Canggih bukan?
Bagi penulis, kewujudan capaian itu sangat sesuai diimplemenkan di kawasan bandar raya yang penuh sesak. Anda boleh merehatkan kaki tanpa perlu sentiasa menekan brek dan pedal minyak.
Pun demikian, masih terdapat sedikit kelemahan iaitu jarak antara kenderaan di hadapan agak luas membolehkan kenderaan mencelah memotong barisan. Dari satu sisi lain, ia merupakan salah satu ciri keselamatan untuk sistem itu berfungsi. Jika dipandu terlalu rapat mungkin boleh mengundang pelanggaran!
Bagi City Safety dengan Front Collision Warning pula, ia memberi amaran objek di hadapan kepada pemandu. Sekiranya tiada ‘campur tangan’, maka sistem itu akan membrek secara automatik.
Sistem tersebut nampaknya beberapa kali mengejutkan penulis kerana tiba-tiba jentera berhenti. Panik juga dibuatnya.
Bagaimanapun, Lane Keeping Aid akan membantu pemandu mengekalkan jentera di jalan raya. Jika tersasar atau terkeluar dari garisan jalan, maka secara automatik stereng akan membetulkannya untuk kembali dalam garisan. Secara peribadi, penulis sangat menyukai teknologi sebegitu.
Seronok juga jika memandu di laluan lebuh raya dengan sistem tersebut kerana boleh melepaskan tangan dari stereng. Dengan erti kata lain, ia (sistem) berfungsi seakan-akan auto pilot. Namun awas, jangan pula sampai terleka.
Kuasa enjin
Sudah tentu kemampuan aksi jentera itu bergantung pada ‘jantungnya’. XC90 menggunakan enjin petrol empat silinder turbo 2.0 liter yang mampu menghasilkan kuasa maksimum 254 kuasa kuda (hp) pada 5,500 putaran per minit (rpm) dan kilas maksimum 350 meter Newton (Nm) pada 1,500rpm hingga 4,800rpm.
Kombinasi kuasa itu mampu menghasilkan pecutan 7.9 saat pada 100 kilometer per jam (km/j) dengan kelajuan maksimum 215km/j. Sementara itu, kadar penjimatan bahan api 7.9 liter per 100km, boleh disifatkan sesuai untuk kenderaan sebesar itu yang mampu memuatkan tujuh orang penumpang.
Apa yang pasti, jentera dengan penawaran tiga mod pemanduan iaitu Eco (Ekonomi), Comfort (Selesa) dan Dynamic (Dinamik) itu sangat membantu. Setiap mod pemanduan akan mengubah cara jentera itu mengharungi jalan raya.
Tawaran tidak termasuk off road. Mahukan pemanduan lebih agresif? Gunakan sahaja pedal di belakang stereng untuk menukar gear secara manual.
Keselesaan pemanduan
Menyentuh aspek pengendalian, XC90 terserlah kerana berupaya menjalankan tugasnya dengan baik. Stereng tidak terasa terlalu ringan dan ‘kosong’ memberi lebih keyakinan untuk mengawal kenderaan mengikut kehendak pemandu.
Rekaan aerodinamik badannya mempunyai daya keseimbangan yang baik walaupun ketika dipandu laju di laluan selekoh.
Di lebuh raya, tanpa kerahan pendikit, mudah saja kenderaan itu beraksi menujah kuasa biarpun pada kelajuan maksimumnya 180 hingga 190km/j.
Pun demikian, sepanjang pemanduan di laluan biasa yang kurang sesak, penulis lebih selesa menggunakan mod Eco dan Pilot Assist kerana ia lebih santai dan menyeronokkan.
Berkenaan kotak gear pula, terasa penukaran klac yang sangat lancar. Ketika penulis menguji dengan membuat pemanduan mendesak, gear juga memberikan sentapan lembut yang mengundang keterujaan penulis. Tidak keterlaluan jika dikatakan ia dibina cukup sempurna.
Menariknya, sebagai sebuah SUV, gerakan mengoleng-oleng cukup minimum ketika melalui jalan berselekoh dan tidak rata. Malah jentera itu mampu didesak hingga mencapai kelajuan sewajarnya tanpa menghadirkan sebarang olengan yang teruk.
Tetapan suspensi merupakan antara yang padu dalam model Volvo. Namun tidak terlalu keras dan masih menyenangkan.
XC90 T5 ditawarkan dalam tiga pilihan warna baharu iaitu Chrystal White (putih), Denim Blue (biru) dan Maple Brown (coklat) serta tambahan warna kabin baharu, Marron Brown. Lebih menarik, varian baharu itu turut dilengkapi sistem Volvo IntelliSafe, sama seperti XC90 T8.
Setelah empat hari memandu uji XC90 T5, penulis berpendapat tim jurutera dan pereka Volvo telah berjaya menyuntik kesegaran terhadap produk yang sedia bagus itu. Walaupun sudah bertahun berada di pasaran global, ia masih nampak relevan dan kontemporari.
Kesimpulannya, XC90 sememangnya SUV yang seronok dipandu sama ada di laluan bandar atau di luar bandar. Kelebihannya menerusi rekaan luaran yang kelihatan agak mewah dan elegan berbanding model setandingnya.
Bahagian luaran dan dalaman tidak kalah dengan pesaing lain. Penggunaan enjin baharu membuktikan keupayaan kejuruteraan dalaman Volvo dalam membangunkan enjin sendiri yang canggih.
Apapun, memiliki atau memandu kenderaan SUV ada kelebihan dan kekurangan tersendiri. Bergantung kepada cita rasa seseorang itu sebagai pemandu.
Bagi penulis, ternyata kehadiran model tersebut mampu dianggap pesaing terdekat kepada model SUV buatan Jepun dan negara Eropah lain.
SPESIFIKASI
Volvo XC90 T5
Enjin: Petrol empat silinder
turbo 2.0 liter
Kuasa: 254hp @ 5,500rpm
Tork: 350Nm @ 1,500rpm – 4,800rpm
Transmisi: 8 kelajuan automatik
Harga: RM373,888