Ziana Zain: Kehadiran 5000 Peminat Setia Menjadi Kenangan Abadi Dalam Konsert 2024

ziana

Setelah 22 tahun tidak melaksanakan konsert solo, Ziana Zain disambut meriah dan penuh apresiasi oleh para peminat yang rata-rata merupakan peminat tegar penyanyi berusia 56 tahun tersebut. “Rindu” merupakan sebuah ‘understatement’ untuk menggambarkan keinginan menyaksikan penyanyi dengan lontaran vokal hebat ini kembali di pentas dalam skala konsert solo.

Lokasi yang memuatkan sekitar 5000 khalayak dipenuhi dengan jiwa-jiwa yang menghargai, menjadikan sebuah kenangan abadi dan kerendahan hati terdalam, disambut pula dengan nyanyian bersama yang tidak putus-putus sepanjang konsert berlangsung.

Konsert CSA ACADEMY MEMPERSEMBAHKAN ZIANA ZAIN KONSERT 2024 yang berlangsung selama 2 jam di Mega Star Arena, Kuala Lumpur, pada 25 Mei 2024, adalah salah satu sari berita penting bukan sahaja dalam karier diva seni suara tersebut, tetapi juga buat industri hiburan tanah air. Ini lah yang dirasai sepanjang konsert berlangsung.

Ini dapat dilihat melalui nyanyian ‘karaoke’ berantai mereka untuk setiap lagu, serta kehadiran mereka di konsert yang dipersembahkan oleh CSA Academy selaku penaja utama. Konsert ini juga dianjurkan oleh Anuar Zain Network Sdn Bhd dan Ziana Zain Network Sdn Bhd dengan kerjasama Altus ProHouse.

Dengan gelaran Diva Pop itu terakhir kali mengadakan konsert solo pada tahun 2001 melalui Ziana Zain In The Park, yang diadakan di PWTC (kini World Trade Centre) Kuala Lumpur.

“Saya sangat terharu dan sangat berterima kasih dengan kehadiran para peminat yang telah menjadi tulang belakang dalam kerjaya saya selama ini. Juga kepada pihak media yang sentiasa membantu saya dalam perjalanan karier dan tidak putus-putus membantu mempromosikan konsert ini,” ujar Ziana Zain. 

Anuar Zain bagi pihak Anuar Zain Network Sdn Bhd yang merupakan pihak penganjur, juga ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Kementerian Komunikasi melalui MyCreative Ventures atas sokongan kerajaan yang berterusan kepada pembangunan industri kreatif. Ini melalui Dana Kandungan Digital Persembahan Muzik untuk menjayakan konsert pada malam ini.

Bersama nama-nama hebat dalam industri yang mengembleng tenaga, kreativiti dan antusias dalam konsert ini, pentas meriah ini menyaksikan Aubrey Suwito bertindak sebagai Pengarah Muzik serta pemain piano manakala Jennifer Thompson sebagai Pengarah Konsert. 

Konsert ini juga menyaksikan gandingan hebat pemuzik-pemuzik tanah air seperti Nan Alias (gitar), Wan Gigi (gitar), Gideon (bass), Derrick Siow (dram), Firdaus (keyboard), Steve Thornton (perkusi) serta Mariam, Fazira dan Affan sebagai penyanyi latar. 

Konsert ini ditambahkan kemeriahan dan kekayaan bunyi dengan kehadiran barisan pemain violin iaitu Brian Larson, Ergys Koni, Mabel Wong, Melanie Ooi, Jacqueline Tan dan Joey Young.  Juga diserikan dengan kehadiran Toko Inomoto (viola), Jonathan Oh (Cello) serta Zachary Suwito selaku protools operator. 

Penonton-penonton disajikan dengan lagu-lagu seperti Madah Berhelah, Putus Terpaksa, Berpisah Jua, Dingin, Kekal Dan Puncak Kasih selama durasi 2 jam lebih dalam konsert yang sangat bermakna buat peminat-peminat Ziana Zain