Kegemukan menyusahkan hidup

Kegemukan menyusahkan hidup

FARHAN (bukan nama sebenar) dihantar ke sebuah hospital swasta bagi mendapatkan rawatan untuk jangkitan kuman pada kaki kanannya.

Sepatutnya, ubat-ubatan dan penjagaan sudah memadai untuk menyembuhkan seorang kanak-kanak sihat yang berusia 12 tahun.

PEMAKANAN tidak seimbang boleh menyebabkan satu keluarga menghidap obesiti.

PEMAKANAN tidak seimbang boleh menyebabkan satu keluarga menghidap obesiti.

Bagaimanapun, Farhan bukanlah kanak-kanak yang sihat kerana berat badannya ketika itu melebihi 100 kilogram (kg).

Susulan itu, Farhan dirujuk kepada hospital kerajaan bagi merawat komplikasi akibat berat badannya yang berlebihan itu.

Namun, hayatnya tidak lama apabila beliau meninggal dunia pada usia 12 tahun akibat keadaan jantungnya yang lemah. Sememangnya kisah Farhan amat menyedihkan.

Lazimnya, kanak-kanak yang ‘montok’ sememangnya tampak comel. Ibu bapa juga senang hati, melihat anak mereka sedemikian kerana nampak sihat dan cukup diberi makan.

Sebaliknya pemakanan yang tidak seimbang, boleh menyebabkan kegemukan atau obesiti.

Berdasarkan statistik Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO), obesiti kanak-kanak meningkat pada kadar yang sangat membimbangkan. Mana tidaknya, rekod menunjukkan jumlah mereka yang mempunyai berat badan berlebihan di bawah usia lima tahun adalah melebihi 41 juta orang pada tahun 2016.

Lebih meresahkan, kajian yang diterbitkan dalam International Journal of Environmental Research and Public Health pada tahun 2010 menyatakan bahawa penyebab tidak dapat diubah bagi obesiti merupakan genetik.

Kanak-kanak yang mempunyai ibu bapa yang obes dan gemuk berisiko besar untuk turut berkeadaan sama.

Kenyataan Perunding Kanan Pediatrik dan Endokronologi, Pusat Pakar UM (UMSC), Prof Madya Dr Muhammad Yazid Jalaludin mengesahkan lagi kajian berkenaan.



Dr Muhammad Yazid

Dr Muhammad Yazid

Menurutnya, kanak-kanak yang mempunyai ibu atau bapa yang gemuk berdepan empat atau lima kali ganda risiko untuk membesar menjadi dewasa yang obes.

“Keadaan menjadi lebih buruk apabila kedua-dua ibu dan bapa gemuk dengan risikonya adalah 13 kali ganda!,” katanya dalam satu temu bual bersama Bernama baru-baru ini.

Kaji Selidik Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) menunjukkan dalam negara-negara Asia Tenggara, Malaysia berada antara tempat teratas dengan populasi orang dewasa mengalami obesiti mencecah 44.2 peratus.

Angka itu meningkat kepada 47.3 peratus pada 2015.

Berdasarkan data tersebut, wanita dewasa dalam lingkungan umur boleh hamil iaitu 30 hingga 35 tahun akan mengalami kegemukan (34.2 peratus) dan obes (30.4 peratus).

Itu merupakan trend yang amat membimbangkan dan ia membangkitkan kerisauan. Ini kerana mereka juga ialah ibu bapa kepada anak-anak yang sedang membesar atau bakal menimang cahaya mata.

Menghidap diabetes

Kaji Selidik Nutrisi Asia Tenggara pada 2013 menyatakan bahawa 21.6 peratus kanak-kanak dalam lingkungan umur enam bulan hingga 12 tahun berada dalam kategori gemuk atau obes.

Menurut satu lagi kajian mengenai kanak-kanak dan remaja di Asia pada tahun 2013, Malaysia adalah antara tiga negara yang mempunyai kanak-kanak obes (berusia enam bulan hingga 12 tahun) iaitu sebanyak 11.5 peratus.

Kajian NHMS pada 2015 mendapati sebanyak 11.8 peratus kanak-kanak berusia bawah 18 tahun mengalami obesiti.

“Berdasarkan data itu, seramai 1.65 juta kanak-kanak Malaysia yang bersekolah dijangka mengalami obesiti menjelang 2025 sekiranya kita tidak mengambil sebarang tindakan,” kata Dr Muhammad Yazid.

Daripada jumlah itu, seramai 88,000 kanak-kanak Malaysia dikhuatiri akan mengalami masalah dalam toleransi glukos. Seramai 28,000 orang akan menghidap diabetes Jenis 2 dan 191,000 kanak-kanak bakal mengalami tekanan darah tinggi.

Sementara itu, 264,000 akan menghidap penyakit hati berlemak tahap satu. Umumnya, Indeks Jisim Tubuh (BMI) digunakan bagi mengukur berat badan kanak-kanak dan dewasa. Justeru bagaimana cara memastikan seseorang itu sudah gemuk?

Dr Muhammad Yazid berkata, obesiti dalam kalangan kanak-kanak juga boleh ditentukan melalui ukur lilit pinggang mereka.

“Kajian ke atas kanak-kanak Malaysia pada tahun 2011 mendapati kanak-kanak lelaki gemuk dari usia tujuh tahun mempunyai ukur lilit pinggang pada kadar 90 persentil yang lebih besar berbanding kanak-kanak sebaya dan sama jantina di United Kingdom, Hong Kong, Turki dan Australia,” katanya.

Kajian itu dijalankan ke atas 18,000 kanak-kanak berusia enam hingga 18 tahun di Malaysia.

Kategori

Dr Muhammad Yazid yang memetik Kaji Selidik Nutrisi Asia Tenggara yang terbaharu untuk kanak-kanak berusia enam bulan sehingga 12 tahun berkata, sebanyak 21 peratus daripada mereka dikategorikan sebagai gemuk atau obes. Jumlah kanak-kanak lelaki mencatatkan kadar lebih tinggi berbanding kanak-kanak perempuan.

“Kaji selidik MyBreakfast pula mendapati di Malaysia, lebih ramai kanak-kanak Cina yang gemuk dan obes berbanding kanak-kanak Melayu dan India,” katanya.

Di Amerika Syarikat, kanak-kanak gemuk adalah daripada golongan sosioekonomi bawahan memandangkan ibu bapa mereka tidak mampu membeli makanan yang berkhasiat dan berkalori rendah.

PEMAKANAN sihat penting pada awal usia.

PEMAKANAN sihat penting pada awal usia.

Namun, di negara-negara membangun seperti Malaysia, kanak-kanak gemuk adalah dalam kalangan keluarga kaya dan miskin.

“Keluarga yang miskin tidak mempunyai wang mencukupi. Oleh itu, mereka makan makanan yang tidak berkhasiat dan tinggi kalori yang biasanya berharga murah.

“Keluarga kaya pula mampu membeli makanan yang baik, namun mereka membuat pilihan yang salah dalam pembelian jenis makanan,” jelasnya.

Keadaan itu menyebabkan peningkatan kegemukan dalam kalangan kanak-kanak sebanyak dua kali ganda iaitu 5.8 peratus kanak-kanak obes pada 2011 meningkat kepada hampir 12 peratus pada 2015.

“Berdasarkan statistik dan keadaan kesihatan, obesiti dalam kalangan kanak-kanak merupakan satu penyakit dan bukannya keadaan seperti yang dilabelkan sebelum ini,” tegasnya.

Implikasi

WHO menyatakan obesiti dalam kalangan kanak-kanak dikaitkan dengan risiko kematian semasa muda dan ketidakupayaan semasa dewasa.

Kanak-kanak yang gemuk dan obes juga berisiko tinggi untuk menghidap penyakit tidak berjangkit seperti diabetes dan kardiovaskular.

Dr Muhammad Yazid berkata, peningkatan obesiti dalam kalangan kanak-kanak Malaysia sangat merunsingkan kerana kanak-kanak yang obes berisiko tinggi untuk membesar menjadi dewasa yang obes.

“Mereka lebih mudah menghidap diabetes Jenis 2, tekanan darah tinggi dan penyakit hati serta mengalami masalah kolesterol.

“Masalah itu yang akan menyebabkan penyakit-penyakit kardiovaskular, tekanan darah tinggi dan rintangan insulin,” katanya seraya memberitahu sindrom rintangan insulin merupakan kumpulan faktor risiko untuk penyakit diabetes mellitus Jenis 2 dan penyakit kardiovaskular.

Tambah Dr Muhammad Yazid, pengalamannya mengendalikan klinik obesiti pediatrik sejak 2006, sepanjang 13 tahun itu beliau mendapati kanak-kanak menghidap diabetes Jenis 2 pada usia seawal 12 tahun.

AHLI keluarga mesti memainkan peranan mengajak si kecil selalu beriadah dan bersukan.

AHLI keluarga mesti memainkan peranan mengajak si kecil selalu beriadah dan bersukan.

Beliau turut berkongsi kisah seorang kanak-kanak obes berusia tujuh tahun yang dimasukkan ke hospital akibat denggi.

Berikutan berat badannya berlebihan, kanak-kanak itu dihantar ke klinik obesiti dan dijadualkan bertemu dengan pakar pemakanan, pakar perubatan sukan dan pakar mengenai tidur.

Bagaimanapun, selepas beberapa sesi lawatan, beliau tidak lagi ke klinik berkenaan. Enam tahun kemudian, kanak-kanak tadi kembali ke klinik, tetapi didapati menghidap diabetes Jenis 2.

Dr Muhammad Yazid berkata, beliau mendapati sejak lima tahun lalu, lapan daripada 10 kanak-kanak menghidap diabetes Jenis 1 dan bakinya Jenis 2.

“Ini berlaku kerana mereka obes super! Kami pernah merawat kanak-kanak berusia tujuh tahun yang seberat 70kg dan remaja berusia 12 tahun yang seberat 100kg. Mereka dirujuk kepada kami kerana masalah lain seperti lelah atau demam denggi, namun hasil penurunan berat badan tidak berapa bagus.

“Ada juga kanak-kanak yang berjaya mengurangkan berat badan dengan inisiatif oleh ibu bapa mereka sendiri,” katanya.



Sumber

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *