Kebumikan jasad di tempatnya meninggal

Kebumikan jasad di tempatnya meninggal

  • July 26, 2019
  • 0 comments

KEMATIAN ialah suatu yang pasti. Setiap manusia telah ditetapkan ajalnya. Namun, ia kekal menjadi rahsia ALLAH tentang bilakah detik itu akan berlaku. Apa yang pasti, ia tidak akan dipercepatkan atau dilambatkan walau pun satu saat.

Firman ALLAH SWT: “Maka apabila datang tempohnya, tidak dapat mereka dikemudiankan walau sesaat pun dan tidak dapat pula mereka didahulukan.” (Surah al-A’raf, ayat 34)

Begitu juga dengan tempat. Setiap kita tidak tahu di pelosok mana di atas muka bumi ini, nyawa kita akan dicabut kembali.

ALLAH SWT mengingatkan kita: “Dan tiada seorang pun yang dapat mengetahui di bumi negeri manakah ia akan mati. Sesungguhnya ALLAH Maha Mengetahui, lagi amat meliputi pengetahuan-Nya.” (Surah Luqman, ayat 34)

Justeru, apa yang kita dituntut untuk lakukan, sentiasa bersedia dan siapkan bekalan untuk hari kemudian.

ALLAH SWT berpesan kepada kita: “Wahai orang-orang yang beriman! Bertakwalah kepada ALLAH (dengan mengerjakan suruhan-Nya dan meninggalkan larangan-Nya); dan hendaklah tiap-tiap diri melihat dan memerhatikan apa yang ia telah sediakan (daripada amal-amalnya) untuk hari esok (hari akhirat) dan (sekali lagi diingatkan): bertakwalah kepada ALLAH. Sesungguhnya ALLAH amat meliputi pengetahuannya akan segala yang kamu kerjakan.” (Surah al-Hasyr, ayat 18)

Apabila seorang Muslim meninggal dunia, kita mempunyai beberapa kewajipan yang perlu ditunaikan. Bermula dengan memandikan jenazah, kafan, solat dan akhirnya mengebumikannya. Kewajipan itu merupakan fardu kifayah yang mesti orang Islam laksanakan.

Segera kebumikan

Antara sunah dalam kita menjalankan kewajipan itu ialah kita dituntut untuk menyegerakan pengebumian jenazah.

Selari dengan apa yang Nabi Muhammad SAW ingatkan: “Segerakanlah jenazah. Jika ia jenazah yang baik, maka ia satu kebaikan yang kamu percepatkan untuknya. Kalau ia jenazah yang tidak sebegitu (yakni tidak baik), maka ia merupakan satu keburukan yang kamu letakkan daripada tengkuk-tengkuk kamu (iaitu kamu tidak perlu lagi mengiringi suatu yang tidak ada kebaikan). (Sahih Bukhari dan Muslim)

Oleh sebab itu, jika tiada sebarang keperluan yang penting, tidak perlu untuk ditangguhkan urusan. Jika perlu untuk menunggu sedikit dengan tujuan memberi peluang orang lebih ramai datang untuk bersama-sama solat jenazah, maka hal itu diharuskan.

Semoga lebih ramai yang datang, maka lebih ramai yang mendoakan jenazah, tetapi jangan sampai dilengah-lengahkan pada tempoh masa yang lama.

Mungkin timbul permasalahan sekiranya seseorang meninggal di luar negeri ataupun di luar negara. Apakah perlu dikebumikan di situ atau pun perlu dibawa pulang?

Imam Ibn Hajar al-‘Asqalani di dalam Fath al-Bari menyebutkan: “Hal itu terdapat perbezaan pandangan dalam kalangan ulama. Ada yang mengatakan makruh kerana ia akan melambatkan pengebumian dan ada juga yang mengharuskannya. Maka keutamaan dalam hal itu bergantung kepada dua keadaan: ia dilarang jika tiada apa-apa keperluan yang jelas seperti ingin dikebumikan di tempat yang ada kelebihan.

“Tahap makruh dalam keadaan itu pun berbeza dan boleh sampai ke tahap diharamkan dan ia diharuskan sekiranya ingin dipindahkan pada jarak yang dekat ke tempat yang ada kelebihan seperti disebutkan oleh al-Syafie yang mengharuskan pindah mayat ke tempat yang ada kelebihan seperti Makkah dan sebagainya.”

Ikut tuntutan sunah

Maka, urusan itu kembali kepada tuntutan asal yang disebutkan oleh baginda Rasulullah SAW. Segerakan urusan pengebumian. Oleh itu, kebumikan jenazah di tempat dia meninggal lebih menepati dengan sunah berkenaan kecuali jika proses pemindahan tersebut dalam jarak yang dekat dan munasabah serta tidak memerlukan kos yang tinggi, maka ia masih diharuskan.

Atau sekiranya situasi di negara tersebut tidak memungkinkan jenazah berkenaan untuk dikebumikan di situ, maka dalam keadaan itu, pilihan yang ada sama ada dikebumikan di tempat lain yang terdekat atau pun dibawa pulang ke tempat asalnya.

Bagaimana pula jika si mati ada meninggalkan wasiat agar dia dikebumikan di tempat asalnya?

Hal itu ada perbezaan pandangan dalam kalangan para fuqaha dan ia termasuk di dalam isu memindahkan jenazah ke negara lain. Fuqaha dalam Mazhab Maliki mengharuskan tindakan itu dengan syarat ia tidak menyakiti dan mencemarkan kehormatan jenazah.

Sementara itu, fuqaha dalam Mazhab Hanbali dan Hanafi, mereka berpendapat, ia ialah makruh, melainkan jika ada keperluan yang penting.

Di sisi Mazhab Syafie pula, fuqaha terbahagi kepada dua golongan. Sebahagiannya berpandangan haram untuk memindahkan jenazah ke negara lain kerana ia akan melewatkan pengebumian, manakala sebahagian yang lain menyatakan ia makruh.

Selain itu, proses memindahkan jenazah juga memerlukan kos yang tinggi. Ia boleh membebankan waris si mati. Oleh itu, jika tidak ada sebarang keperluan yang mendesak, maka mengebumikan jenazah di negara dia meninggal lebih menepati sunah dan bertepatan dengan pandangan para fuqaha.

Dalam situasi itu, tidak menjadi kewajipan kepada kita untuk menunaikan wasiat si mati kerana ia tidak bertepatan dengan tuntutan sunah.

***Ustaz Abd Razak Mutalib merupakan Perunding Latihan dan Motivasi, Akademi Magnet Sukses.



Sumber

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge