“Kasih Tersayang” Cerminan Jiwa dan Kematangan Shatirah Amanda

Menyambut usia 25 tahun, penyanyi dan pelakon berbakat, Shatirah Amanda tampil dengan karya terbarunya yang sarat dengan emosi dan makna peribadi. Single berjudul “Kasih Tersayang” bukan sekadar memperlihatkan kemantapan vokalnya, malah menandakan fasa baharu dalam kerjaya seni apabila Amanda sendiri mencipta melodi dan menulis lirik lagu ini buat pertama kalinya.

Mengambil inspirasi daripada pelbagai bentuk kasih sayang dalam kehidupan, lagu bergenre pop ini mencerminkan pandangan Amanda terhadap cinta yang lebih luas daripada sekadar hubungan romantik. “Kasih Tersayang” menjadi dedikasi bukan sahaja untuk pasangan kekasih, tetapi juga untuk keluarga, sahabat sejati, dan haiwan peliharaan yang menjadi sebahagian daripada hidup kita.

Single ini boleh dinikmati bermula 5 Mei 2025 melalui semua platform penstriman digital utama seperti Spotify, Apple Music, YouTube Music, KKBox, Tidal, Deezer dan juga boleh dimuat turun di iTunes. Lebih istimewa, karya ini merupakan hasil ciptaan sepenuhnya oleh Amanda sendiri satu pencapaian penting yang mengangkat namanya sebagai penyanyi dan penulis lagu yang semakin matang.

Menurut Amanda, karya ini turut bertujuan mencabar persepsi masyarakat tentang cinta. Baginya, kasih yang sejati hadir dalam pelbagai bentuk dan tidak harus disempitkan kepada kisah cinta romantik semata-mata. Pandangan ini menggambarkan kedewasaan Amanda sebagai artis yang ingin berkarya secara inklusif, menyentuh hati pelbagai lapisan pendengar.

Kini bernaung secara eksklusif di bawah label SA International, Amanda tekad untuk memberi tumpuan penuh kepada bidang nyanyian. “Saya yakin dengan masa depan saya bersama SA International dan berazam untuk hasilkan karya yang bermutu serta relevan dengan perkembangan muzik semasa,” katanya.

Mengimbau proses penghasilan “Kasih Tersayang”, Amanda mengakui beliau teruja dan dalam masa yang sama berdebar menantikan reaksi peminat. Lagu ini menandakan langkah awalnya sebagai pencipta lagu, sesuatu yang cukup bermakna buat perjalanan seninya.

Walaupun sebelum ini dikenali menerusi beberapa drama popular seperti Bunga Salju dan Bila Takdir Melarang Cinta, Amanda memilih untuk menolak beberapa tawaran lakonan demi memberi fokus kepada kerjaya muzik. “Saya tidak menolak terus bidang lakonan, cuma buat masa ini, keutamaan saya adalah membina nama sebagai penyanyi. Kalau ada watak yang sesuai dan tidak bertindih dengan jadual nyanyian, saya terbuka untuk pertimbangkan,” jelasnya.

Sebagai bintang filem Marak dan finalis Top 5 Dewi Remaja 2020, Amanda kini tampil lebih yakin dengan arah tuju seninya. Beliau berharap percubaan membawakan lagu berkonsepkan lebih peribadi dan jujur ini akan membuka ruang baharu buatnya.

“Saya ingin terus bereksperimen dan bawa muzik saya lebih jauh kalau boleh hingga ke peringkat antarabangsa,” ujarnya penuh semangat.

Untuk maklumat terkini dan perkembangan lanjut, ikuti Shatirah Amanda di media sosial:
Instagram: @shatirahamanda
TikTok: @shatirahamanda