Karnival Jom Heboh 2024 Kembali Ke Sabah Sebagai Penutup Siri Jelajah Tahun Ini!

Berita baik buat warga Borneo! Selepas hampir lima tahun, Karnival Jom Heboh (KJH) kembali memeriahkan Sabah dengan lebih istimewa. Sabah dipilih sebagai lokasi penutup bagi siri jelajah KJH 2024, menjanjikan pelbagai aktiviti menarik untuk seisi keluarga. Acara ini akan berlangsung pada hujung minggu ini, dari 27 hingga 29 Disember 2024 (Jumaat hingga Ahad) di Kompleks Sukan Kota Kinabalu, bermula seawal jam 9.00 pagi.

Dianjurkan oleh Media Prima Berhad, KJH 2024 telah menjelajah enam lokasi sebelum ini, termasuk Sarawak, Putrajaya, Melaka, Terengganu, Pulau Pinang, dan Johor Bahru. Sebagai penutup tirai tahun ini, Sabah dijangka menerima sambutan luar biasa seperti siri-siri sebelumnya, yang menarik lebih 300,000 pengunjung di setiap lokasi. Diiktiraf oleh The Malaysia Book of Records sebagai ‘Acara Padang Paling Lama’, KJH terus menjadi fenomena dengan pelbagai aktiviti menyeronokkan dan hadiah lumayan.

Selama tiga hari, pengunjung akan menikmati pelbagai program menarik. Reruai seperti Studio Tonton Drama Sangat (TV3, TV9, Tonton), Hot FM, dan New Straits Times Press menawarkan aktiviti yang menyeronokkan dengan peluang memenangi hadiah-hadiah menarik. Di booth Studio Tonton Drama Sangat, peminat berpeluang bertemu selebriti terkenal seperti Khai Bahar, Reen Rahim, Rita Nadira, dan ramai lagi. Lebih istimewa, pendaftaran sebagai ahli baharu Tonton melayakkan pengunjung untuk menyertai cabutan bertuah hadiah utama berupa Samsung Smart TV 65” bernilai RM3,500!

Bagi peminat e-sukan, kejohanan Mobile Legends: Bang Bang (MLBB) yang dianjurkan oleh New Straits Times Press dan Todak akan menjadi daya tarikan utama. Selain hadiah lumayan, kejohanan ini membuka ruang kepada peminat MLBB untuk menunjukkan bakat mereka di arena e-sukan yang kompetitif.

Lebih 120 reruai lain turut mengambil bahagian, menawarkan promosi menarik dan hadiah eksklusif. Jenama seperti Yaya Empire, F&N, Marigold, dan 4Fingers menjanjikan pengalaman membeli-belah yang menyeronokkan. Tidak ketinggalan, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) turut menawarkan perkhidmatan semakan penyata secara percuma di reruai mereka.

Acara ini menjadi lebih meriah dengan Konsert Jom Heboh yang dikuasakan oleh U Mobile pada 28 dan 29 Disember 2024, bermula pukul 9.00 malam. Malam pertama akan menampilkan persembahan artis popular seperti Floor 88, Bella Astillah, dan Marsha Milan, manakala malam kedua bakal menyaksikan kemunculan alumni One In A Million seperti Ayu Damit, Stacy, dan Suki Low.

Selain hiburan, KJH turut menzahirkan keprihatinan terhadap krisis di Palestin. Media Prima menggalakkan sumbangan kepada Tabung Kemanusiaan Palestin melalui akaun Bank Muamalat dan Maybank untuk membantu komuniti yang memerlukan.

Jadi, tunggu apa lagi warga Sabah? Jangan lepaskan peluang untuk memeriahkan Karnival Jom Heboh hujung minggu ini. Kongsi keseronokan anda dengan tanda pagar #TV3SentiasaBersamamu, #KarnivalJomHeboh, dan #InspirasiGenerasi di media sosial. Untuk maklumat lanjut, layari laman web rasmi www.jomheboh.com.my atau ikuti Instagram dan Facebook @jomhebohofficial. Mari bersama mencipta kenangan indah di Karnival Jom Heboh Sabah 2024!