Disney Jr. Live On Tour: Let’s Play! hadir dengan persembahan penuh warna-warni yang memikat hati penonton. Pada malam 29 Ogos lalu, pentas Arena of Stars, Resorts World Genting bertukar menjadi dunia ajaib dengan muzik, tarian dan kemunculan watak kegemaran yang meninggalkan memori indah buat kanak-kanak serta ibu bapa.
Seawal tirai dibuka, suasana menjadi hidup dengan aksi penuh tenaga daripada DJ Disney Junior. Sorakan bergema apabila Mickey Mouse tampil di pentas, membuka jalan kepada sebuah perjalanan hiburan yang sarat dengan nyanyian, tarian, permainan interaktif dan belon.

Pelbagai karakter Disney menghiburkan penonton sepanjang malam, antaranya Goofy, Ariel dari The Little Mermaid, SuperKitties dan banyak lagi. Minnie Mouse pula menerima sambutan paling meriah sewaktu muncul dalam segmen belon yang mencetuskan keterujaan.
Selepas waktu rehat, dewan kembali gamat dengan kehadiran istimewa Spider-Man. Penampilan wira ini mencuri perhatian dan membuat penonton kagum, sekali gus melengkapkan sesi penuh keseronokan.

Setiap detik dipenuhi dengan lagu ceria, tarian menarik dan kesan khas yang menawan. Kanak-kanak terpesona melihat aksi di pentas manakala ibu bapa turut sama bernyanyi dan bertepuk tangan, menjadikan persembahan ini sebagai pengalaman keluarga yang bermakna.
Menurut penerbit Jonathan Shank dari Terrapin Station Entertainment, beliau sangat gembira melihat sambutan hangat penonton Malaysia. Katanya, persembahan ini berjaya menghadirkan pengalaman yang akan terus diingati oleh generasi muda.
Acara ini dianjurkan bersama Unusual Entertainment dan Lo-Fi Entertainment. Disney Jr. Live On Tour: Let’s Play! sekali lagi membuktikan kehebatan penceritaan dan imaginasi Disney yang sentiasa dekat di hati peminat.
Bagi yang belum berkesempatan, persembahan ini akan terus berlangsung hingga 1 September dengan tiga sesi setiap hari sebelum persembahan penutup pada Isnin.