Mengekalkan momentum sebagai agensi TikTok No.1 di Malaysia dan Top 7 di Asia Tenggara, KamiSempoi International Agency (KSIA) terus mengorak langkah strategik dalam memperkasa bakat digital rantau ini menerusi dua inisiatif utama KamiSempoi Golden Award 2024 dan pelancaran label muzik rasmi.
Buat tahun ketiga penganjurannya, KamiSempoi Golden Award 2024 kembali dengan skala lebih besar dan signifikan sebagai platform pengiktirafan kepada live host TikTok serta rakan niaga yang berjaya mengharumkan nama KSIA di pentas serantau. Majlis berprestij ini bakal berlangsung pada 12 Mei 2024 di Galaxy Banquet Hall, Sentul Kuala Lumpur bermula jam 8.00 malam, lengkap dengan acara karpet merah.
Berbeza dengan tahun lalu, jumlah kategori anugerah meningkat secara ketara 12 kategori diperuntukkan kepada rakan niaga, manakala 15 kategori khas buat para live host, termasuk selebriti, pelajar, ahli perniagaan, suri rumah dan golongan Orang Kurang Upaya (OKU). Paling dinanti, tiga kategori baharu iaitu Top Host KamiSempoi Malaysia, Indonesia dan Singapura turut diperkenalkan, di mana hanya satu akan dinobatkan sebagai Top Host KamiSempoi of The Year 2024.
Menurut pengasas KSIA, To Chin Swee atau lebih mesra disapa Pakcik Chin Swee, peningkatan jumlah kategori ini sejajar dengan pertumbuhan pesat KSIA. “Kini, KSIA mempunyai 3,100 live host di Malaysia, 1,400 di Indonesia dan 100 di Singapura serta disokong oleh 36 rakan niaga aktif. Berbanding tahun lalu, angka ini melonjak hampir dua kali ganda. Justeru, anugerah ini bukan sahaja meraikan pencapaian tetapi juga menyemarakkan lagi daya saing di kalangan live host kami,” jelasnya.
Tambah beliau lagi, kejayaan KSIA turut dilakar menerusi pencapaian ikon seperti Adelyn Heng, yang muncul Top 3 live host TikTok Asia Tenggara dan Top 100 dunia, sekali gus membawa nama Malaysia ke pentas global. Tiga rakan niaga iaitu BossKlan (RM309,372), KSIA Christ (RM288,182) dan Mentol Talent (RM67,807) turut mencatat rekod pendapatan diamond tertinggi sepanjang 2024.
Sebagai pelengkap perjalanan tahun ini, KSIA juga mengumumkan penubuhan label muzik rasmi mereka, satu usaha jangka panjang untuk memperkasa live host berbakat dalam bidang seni suara. Kolaborasi sulung bersama Miaw Music menyaksikan penghasilan single berjudul KamiSempoi, ciptaan Kimchi Kacak dan dinyanyikan oleh live host KSIA yang sedang meningkat naik, Bulan Asyraf.
Bulan Asyraf, yang memulakan karier sebagai busker jalanan, kini mencuri perhatian ramai selepas kejayaannya mara ke pentas akhir program realiti Gimme The Mic anjuran TikTok dan Astro, sekaligus mencatat pencapaian sebagai Top 2 finalis The Six. Lagu KamiSempoi akan dipersembahkan secara eksklusif buat kali pertama di KamiSempoi Golden Award 2024.
“Bulan Asyraf adalah bukti bahawa apabila bakat diberi ruang dan bimbingan tepat, kejayaan luar biasa pasti menyusul. Kini beliau bukan sahaja popular di Malaysia, malah turut mencuri perhatian peminat di Indonesia,” ujar Pakcik Chin Swee.
KSIA juga merancang untuk membuka pejabat baharu di Sabah demi memenuhi permintaan tinggi daripada bakat-bakat live host di Borneo. “Kami melihat potensi besar dari Sabah dan Sarawak. Ini adalah langkah awal memperkukuhkan pengaruh kami di seluruh Asia Tenggara dan seterusnya di peringkat Asia,” tambah beliau.
KSIA terus komited membina komuniti kreatif yang mampan, bukan sahaja dalam bidang penyiaran langsung, malah turut memperluaskan potensi industri hiburan digital secara menyeluruh melalui label muzik dan program pembangunan bakat.